PATI yang berjaya dicekup di dalam rumah pekerja di ladang kelapa sawit di Mersing hari ini.

JOHOR BAHRU – Cubaan lima pendatang asing tanpa izin (PATI) bersembunyi bawah katil dan melarikan diri ke ladang kelapa sawit bagi mengelak diberkas anggota Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam satu operasi di sebuah ladang kelapa sawit di Mersing pada hari ini tidak berhasil.

Pengarah JIM Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, semua PATI warga Indonesia berkenaan yang tinggal di sebuah rumah pekerja dalam ladang tersebut berjaya dicekup dalam Ops Sapu antara pukul 2.20 pagi hingga 4 pagi tadi.

Menurut Mohd Rusdi, sebelum melakukan serbuan pihaknya melakukan pemantauan selama empat jam di kawasan berkenaan.

“Rumah tersebut dijadikan tempat penampungan atau transit akiviti penyeludupan PATI. Ketika ditahan, mereka melarikan diri ke dalam ladang kelapa sawit dan ada yang bersembunyi bawah katil.

“Namun kelima-lima mereka berjaya diberkas,” katanya dalam sidang akhbar di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN), Setia Tropika, Kempas di sini hari ini.

Beliau berkata, modus operandi sindiket berkenaan adalah dengan menyeludup masuk PATI ke negara ini melalui laluan haram di perairan Johor.

Pemeriksaan dijalankan ke atas PATI yang ditahan.

Katanya, bayaran yang dikenakan sindiket itu adalah sebanyak RM3,000 untuk setiap orang dan RM100 dikenakan untuk penghantaran ke rumah transit berkenaan sebelum dihantar ke lokasi lain.

Menurut beliau, semua PATI berusia antara 21 hingga 49 tahun itu disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki sebarang pas atau permit yang sah untuk berada di Malaysia.

“Seorang daripada mereka yang dipercayai bekerja di ladang berkenaan turut disiasat di bawah Seksyen 55E akta sama kerana membenarkan PATI untuk berada dalam premis,” ujarnya.

Tambahnya, kejayaan operasi berkenaan adalah hasil risikan dan perkongsian maklumat mengenai aktiviti warga asing yang mendalangi sindiket penyeludupan PATI. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast