BEIRUT – Menteri Luar Lubnan Abdullah Bou Habib menggesa negara-negara menunjukkan solidariti dengan Lubnan dalam menghadapi ancaman Israel untuk melancarkan perang.
Bou Habib mengulas beberapa negara-negara yang mengeluarkan amaran sejak kebelakangan ini kepada warganegara mereka agar meninggalkan atau mengelak perjalanan ke Lubnan di tengah-tengah ketegangan dengan Israel.
Beliau menggesa negara-negara itu menggantikan kenyataan yang “menimbulkan kebimbangan dalam kalangan rakyat dan pelawat (ke Lubnan),” dengan kenyataan solidariti yang menunjukkan mereka berdiri bersama Lubnan.
Bou Habib juga menggalakkan negara-negara itu untuk memperhebatkan usaha menekan Israel supaya menghentikan serangan tenteranya terhadap Lubnan.
Di tengah-tengah ketegangan yang semakin meningkat antara Israel dan Lubnan, beberapa negara, termasuk Jerman, Kanada, Macedonia Utara, Belanda, Amerika syarikat dan lain-lain telah menggesa rakyat mereka untuk meninggalkan atau mengelak perjalanan ke Lubnan.
Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, ketegangan semakin memuncak antara tentera Israel dan kumpulan penentang Lubnan, Hizbullah, menimbulkan kebimbangan mengenai kemungkinan perang berskala penuh berikutan kelulusan rancangan operasi Tel Aviv baru-baru ini untuk “serangan berskala luas” terhadap Lubnan.
Ketegangan memuncak di sepanjang sempadan Lubnan dengan Israel di tengah-tengah serangan rentas sempadan antara Hizbullah dan tentera Israel ketika Tel Aviv meneruskan serangan mautnya terhadap Semenanjung Gaza, yang telah mengorbankan lebih 37,700 mangsa sejak 7 Oktober 2023. – Agensi