Lembaga Pengarah UiTM, Mustaffa Kamil Ayub melawat salah satu reruai dalam program STEM4FUN yang dijalankan di DATC, UiTM Shah Alam.

SHAH ALAM  – Universiti Teknologi Mara (UiTM) dengan kerjasama syarikat biofarmaseutikal global Pfizer dan Institute of Electrical and Electronics Engineers (IEEE) Electron Devices Society (EDS) telah menganjurkan MEGA STEM4FUN di Dewan Agung Tunku Canselor UiTM Shah Alam.

Usaha ini selaras dengan matlamat negara untuk menarik minat para pelajar dan melahirkan lebih ramai tenaga pakar dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik pada masa hadapan.

Menurut Ketua Projek, Prof. Ir Dr Ahmad Sabirin Zoolfakar, program ini akan mendedahkan pelajar dengan budaya inovasi sekaligus dapat mengasah bakat kreatif dan berdaya saing serta berfikiran kreatif yang menjadi teras revolusi Industri 4.0.

“Kecemerlangan pelajar dalam bidang STEM di peringkat universiti atau tertiari ini dapat memberi inspirasi kepada penyelidikan, pembangunan dalam ciptaan baru dan inovasi,” katanya.

Sementara itu, Penolong Naib Canselor Kolej Pengajian Kejuruteraan UiTM, Prof Ir. Ts. Dr. Hamidah Mohd Saman berkata, generasi muda memainkan peranan penting dalam era digital dan Revolusi Perindustrian 4.0 kerana mereka mempunyai kemahiran yang bertepatan dengan keperluan semasa industri.

“Bukan itu sahaja, program ini juga dapat memberikan pengalaman praktikal kepada para peserta melalui pelbagai aktiviti yang menyeronokkan dan interaktif,” tambahnya. -MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast