Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Majlis Perasmian Menara Hasil di Georgetown, Pulau Pinang. Foto AIZAT ZAINAL, 29 JUN 2024.

GEORGE TOWN – Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) di negeri-negeri lain perlu mencontohi LHDN Pulau Pinang yang berjaya mencatatkan kutipan hasil yang tinggi.

Gesaan itu disuarakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas LHDN Pulau Pinang berjaya mencatatkan kutipan hasil yang melebihi unjuran pada suku pertama tahun ini.

Jelas beliau, Malaysia berada pada landasan percukaian yang terendah di Asia kerana pembayar cukai membayar cukai pada kadar yang rendah.

“Kita minta negeri-negeri lain usahakan juga kecekapan Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang berjaya meletakkan negeri ini sebagai tarikan penting pemodal dan menyumbang kepada sumbangan hasil yang tinggi.

“Saya ada harapan tinggi dan kepercayaan kepada keupayaan pasukan LHDN untuk mereka jalankan tugas dengan lebih cemerlang dan kita tidak mahu ada kebocoran atau keciciran (kutipan hasil),” katanya selepas merasmikan Menara Hasil Pulau Pinang, di sini hari ini.

LHDN Pulau Pinang merekodkan kutipan cukai sebanyak RM3.542 bilion sehingga 31 Mei lalu dan ia adalah satu pencapaian yang positif berbanding dengan  sasaran kutipan yang ditetapkan bagi negeri Pulau Pinang bagi tempoh yang sama.

Momentum positif ini akan diteruskan bagi mencapai sasaran tahun 2024 LHDN Pulau Pinang sebanyak RM8.099 bilion. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast