Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berucap pada Majlis Perasmian FAMA FEST 2024 Selangor di AEON Mall Bukit Tinggi Klang. Foto MOHD ADZLAN, 29 JUN 2024.

KLANG – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sedang mencari jalan untuk mengatasi ancaman gajah liar atau “abang besar” sebelum melibatkan orang asli dalam penanaman durian berskala besar di negara ini.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, pihaknya sedang berbincang dengan Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak dan Jabatan Kebajikan Orang Asli (JAKOA) untuk mengatasinya.

“Orang asli sudah ada tanam durian dan sebagainya, tapi secara kecil-kecilan. Kita sekarang telah berunding dengan JAKOA termasuk Exco Pertanian Perak, kita baru peringkat perbincangan dengan pemimpin orang asli.

“Tapi memang sukar sikit oleh kerana ada abang besar, iaitu gajahlah, nak atasi itu pihak Jabatan Pertanian Perak dan JAKOA sedang mencari jalan.

“Orang asli ini duduk kawasan pedalaman, kalau di Gerik itu gajah banyak populasinya,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Terdahulu beliau merasmikan FAMA Fest 2024 Selangor di pusat beli-belah AEON Mall Bukit Tinggi, di sini.

Sebelum ini, KPKM dalam perancangan menjadikan masyarakat orang asli sebagai antara penggerak utama bagi penanaman durian berskala besar di negara ini kerana terdapat banyak lokasi berdekatan kediaman mereka yang berpotensi dibangunkan sebagai kawasan penanaman durian berkualiti serta mampu menembusi pasaran luar negara, khususnya di China.

Dalam pada itu, KPKM sedia membantu petani dan usahawan agromakanan tempatan untuk mengeksport produk untuk menembusi pasaran luar negara.

“Melalui sesi pemadanan perniagaan yang melibatkan agen pengeksport dari United Kingdom, Hong Kong dan Kemboja, potensi jualan bagi sesi ini dianggarkan berjumlah sebanyak RM3 juta,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

 

 

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here