Prof. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah (kiri) bersama Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Nik Nazmi Nik Ahmad (baju batik tengah), Pengarah Program Southeast Asia Climate, Muhd Farhan Abdul Rahman dan Dekan Sekolah Perniagaan dan Ekonomi (SPE), UPM, Prof. Dr. Bany Ariffin Amin Noordin bersama para persta semasa di Southeast Asia Climate Investment Summit 2024 baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Sekolah Perniagaan dan Ekonomi (SPE), Universiti Putra Malaysia
(UPM) telah menganjurkan Southeast Asia Climate Investment Summit (SEACIS) 2024 baru-baru ini, bagi memberikan pendedahan mengenai kepentingan pelaburan iklim dalam ekonomi
negara.

Naib Canselor UPM, Dato’ Prof. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah berkata, persidangan
yang julung kali diadakan ini  memberikan impak serta menetapkan
penanda aras baharu dalam memajukan kelestarian dan penjagaan alam sekitar bagi
mencapai matlamat kemampanan ekonomi.

“Ini juga adalah inisiatif perintis untuk menyatukan ahli akademik dan industri dalam bidang pelaburan iklim dan universiti turut menyepadukan prinsip ini secara konsisten bagi memupuk insiatif tersebut untuk mengurangkan kesan kepada alam sekitar,” katanya.

Persidangan itu turut dihadiri Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Nik Nazmi Nik Ahmad.

Pengarah program Southeast Asia Climate, Muhd Farhan Abdul Rahman berkata, misi
penganjuran persidangan ini adalah bertujuan untuk memberi kesedaran secara
keseluruhan mengenai pelaburan iklim dan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

“Negara kini sedar kepentingan perubahan iklim terhadap landskap perniagaan yang
sebenarnya memberi peluang kerjaya baharu terutamanya kepada graduan kerana menjadi keperluan di setiap pasaran pada masa kini,” katanya.

Selain itu, seramai 300 peserta dari pelbagai Universiti Awam (UA) di Malaysia dan Asia
Tenggara telah menyertai persidangan tersebut.

Dalam pada itu, persidangan itu merupakan inisiatif SPE UPM dalam menyahut hasrat
negara melalui Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Pelan Induk
Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) yang kini ke arah melahirkan tenaga kerja yang
mahir.

Sementara itu, Southeast Asia Climate Investment Summit 2024 turut mendapat kerjasama dari Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar (PKPP), UPM yang juga merupakan salah satu inisiatif untuk menyatukan ahli akademik dan industri dalam bidang pelaburan iklim serta memperkasakan pemimpin masa depan negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast