Anwar Ibrahim hadir merasmikan bersama Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow pada Majlis Perasmian Menara Hasil di Georgetown, Pulau Pinang. Foto AIZAT ZAINAL, 29 JUN 2024.

GEORGE TOWN – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan tiada sebarang keputusan membabitkan penyasaran subsidi lain dibuat setakat ini kecuali diesel.

Beliau mengulas kenyataan Rafizi Ramli dalam satu wawancara bersama Bloomberg yang mengatakan kerajaan akan meneruskan rancangan untuk mengumumkan langkah sama untuk minyak RON95.

Menurut Menteri Ekonomi itu, kerajaan akan menggunakan strategi sama, iaitu dengan tidak membuat makluman awal kepada umum berkenaan sebarang keputusan berkaitan penyelarasan subsidi petrol RON95.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, pihaknya ketika ini memberi tumpuan soal penyasaran diesel selain meneliti supaya pelaksanaan itu berkesan.

“Saya baca teks Rafizi. Kita tumpu soal diesel yang perlu kita teliti supaya pelaksanaan itu berkesan.

“Kalau ada kalangan (pengguna) yang rasa terjejas, harus dikemukakan..saya tengok dalam konteks itu ditekankan dan yang lain (penyasaran RON95 dan apungan harga gula) belum ada apa-apa keputusan,” katanya hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Rafizi dan dakwaan awam mengatakan kerajaan akan membuat kejutan dengan melaksanakan penyasaran RON95 dan pengapungan harga gula.

Terdahulu, Anwar merasmikan Menara Hasil Pulau Pinang di sini. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here