Calon Pakatan Harapan, Dr Joohari Ariffin bercakap pada media berkenaan sesi Pengumuman Iltizam (manifesto) bersama penduduk tempatan sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) N20 Sungai Bakap di Taman Tasek Indah Simpang Ampat, Pulau Pinang. Foto AIZAT ZAINAL, 29 JUN 2024.

NIBONG TEBAL – Infrastruktur Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Kerian, Projek Air Perak-Pulau Pinang, pembinaan sambungan jalan di Bandar Tasek Mutiara antara yang terkandung dalam empat teras utama P-A-D-U (PADU) sebagai Iltizam calon Pakatan Harapan, Dr Joohari Ariffin kepada penduduk Sungai Bakap.

Manifesto atau iltizamnya dinamakan PADU, merujuk akronim P yang mewakili isu Prasarana dan Progresif, A untuk Akhlak, Akademik dan Anak muda, manakala D merujuk Damai serta terakhir, U iaitu Untuk semua (U).

Calon PKR yang lebih mesra disapa Cikgu Joo itu berkata, beliau dan jentera parti akan memanfaatkan baki kempen untuk menjelaskan iltizam PADU tersebut.

“Kepada semua masyarakat saya nak yakinkan bahawa perkara tersebut bukan sesuatu yang mustahil kalau dilantik sebagi wakil  rakyat yang sealiran yang sama dengan peringkat negeri dan persekutuan.

“Saya nak menyatakan komitmen bahawa akan berusaha bersungguh-sungguh melaksanakan perkara tersebut… bila dirancang kita akan pastikan ia dapat dilaksanakan itu iltizam saya.

“Kita bukan nak selesaikan dalam masa seminggu dua tapi yakin, InsyaAllah saya dpt laksanakan dalam tempoh satu penggal…berilah masa sebab projek besar mcm ini melibatkan banyak peringkat,” katanya kepada pemberita selepas peluncuran iltizam tersebut di Ceramah Perpaduan di Simpang Ampat di sini, malam tadi.

Antara iltizam lain, Joohari juga mahu menyediakan kemudahan awam dengan naik taraf fasiliti wad bersalin dan rawatan pakar geriatrik di Hospital Sungai Bakap untuk ibu mengandung dan warga emas serta menjadikan kawasan Dewan Undangan Negeri tersebut pusat pengeluaran produk mikro halal.

Joohari juga berazam meningkatkan penyertaan usahawan wanita dalam Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dan mewujudkan Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE).

Tekad bekas guru dan pemegang ijazah kedoktoran dari Universiti Sains Malaysia (USM) untuk penduduk DUN berkenaan, antara lain adalah perpaduan dan jika diangkat sebagai wakil rakyat, beliau akan memastikan semua pengundi dilayan secara adil, sesuai dengan huruf U yang bermaksud ‘Untuk Semua’.

Joohari juga mahu meningkatkan akhlak dan kecemerlangan akademik anak muda menerusi Pendidikan Percuma Tuisyen Rakyat untuk pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Ia termasuk mengembangkan program seperti Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM), Latihan Teknikal dan Vokasional Malaysia (TVET) dan program kecerdasan buatan (AI) menerusi Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) dan Digital Penang ke Sungai Bakap.

Selain itu, merancakkan program jati diri dalam meningkatkan semula ‘self-esteem’ remaja dengan mewujudkan kaunter tetap CARI KERJA, iaitu Pusat Kekal MyFutureJob, menambah dan menaiktaraf fasiliti sukan rakyat.

Iltizam lain, mengembalikan minat belajar dalam kalangan pelajar dengan mewujudkan Pusat Tuisyen Rakyat (PTR) yang akan mendapat bantuan tutor dari universiti tempatan.

Selain itu, Taska Perpaduan dan Tadika Islam (TADIS) juga akan diwujudkan bagi membantu meringankan beban kewangan keluarga serta membantu menyelesaikan permasalahan lama kewarganegaraan bagi warga emas dan kanak-kanak tempatan yang berkelayakan.

Tekad lain termasuk mengimarahkan masjid dan surau serta pemuliharaan rumah ibadat bukan Islam melalui kerajaan negeri dan Persekutuan.

Terakhir, memberikan perhatian yang adil kepada seluruh masyarakat dengan fokus kepada keupayaan daya saing belia, anak muda, wanita, pengembangan pendidikan kanak-kanak serta warga emas tanpa mengira fahaman politik, budaya dan agama.

PRK DUN Sungai Bakap menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Pakatan Harapan (PH) iaitu bekas pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara Dr Joohari Ariffin dan bekas eksekutif logistik yang juga Naib Yang Dipertua Pas Nibong Tebal, Abidin Ismail mewakili Perikatan Nasional (PN).

PRK berkenaan diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian PRK berkenaan pada 6 Julai. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here