Fadhlina Sidek

NIBONG TEBAL – Kementerian Pendidikan (KPM) serah siasatan kes pelajar lelaki maut selepas terjatuh dari tingkat lima sebuah sekolah di Kajang, Selangor kepada polis.

Bagaimanapun, menterinya, Fadhlina Sidek menegaskan, siasatan dalam sedang dilaksanakan KPM untuk membantu siasatan pihak berkuasa.

Jelas beliau, pihaknya tidak pernah berkompromi soal keselamatan murid di peringkat sekolah selain sentiasa mengingatkan institusi pendidikan untuk tingkatkan keselamatan dari semasa ke semasa.

“Pertama saya rakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa, rakan-rakan dan sekolah dan kita memberi sokongan psikologi sosial kepada mereka.

“Saya fikir ini tak mudah untuk semua pihak kerana kejadian ni berlaku di sekolah dan pada masa sama kita telah pun ambil tindakan intervensi penting pasca kejadian ini.

“Buat masa ini, kita sedang menjalankan siasatan dalaman dan hasil itu akan diserahkan kepad pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan penuh,” katanya kepada pemberita hari ini.

Terdahulu, Fadhlina menghadiri Program Fisioterapi dan Penjagaan Wajah bersama masyarakat setempat di Simpang Ampat di sini.

Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, pihaknya akan tingkatkan usaha dalam isu yang terkait rapat dengan gejala buli.

“Insiden yang berlaku itu sangat mendukacitakan dan kita benar-benar terkesan dengan kejadiannya.

”Dalam masa sama kita nak tingkatkan usaha dalam mengatasi isu terkait rapat dengan gejala buli di semua peringkat khususnya dengan garis panduan dan juga peraturan-peraturan yang telah kita tetapkan,” katanya.

Media semalam melaporkan pelajar sebuah sekolah di Kajang, Selangor yang dilaporkan parah selepas terjatuh dari tingkat lima bangunan sekolah disahkan meninggal dunia.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, remaja lelaki berusia 13 tahun itu disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Kajang pukul 2.30 pagi.

“Siasatan lanjut menerusi rakaman kamera litar tertutup  yang diperoleh mendapati mangsa dipercayai terjatuh dari tingkat lima bangunan sekolah terbabit.

“Pelajar itu dirawat di Hospital Kajang dan beberapa kesan kecederaan dialaminya pada bahagian kepala serta anggota badan. Punca kematian disebabkan jatuh dari tempat tinggi,” katanya dalam kenyataan. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here