Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Malaysia, Fuziah Salleh bercakap pada media berkenaan Hari Terbuka Mysubsidi Diesel 2.0 Sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) N20 Sungai Bakap di Taman Lima Kongsi, Sungai Bakap, Pulau Pinang. Foto AIZAT ZAINAL, 30 JUN 2024.

NIBONG TEBAL – “Tiada keputusan dibuat Kabinet berkaitan kenaikan harga gula setakat ini,” tegas Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Fuziah Salleh.

Jelas beliau, spekulasi tersebut berlaku pada April lalu susulan pihak industri gula memohon kenaikan harga barang asas itu atas alasan mereka mengalami kerugian.

“Pihak industri itu (gula) mengadu mereka mengalami kerugian berjumlah 88 sen bagi setiap kilogram gula yang dikeluarkan dan mohon untuk menaikkan harga.

”Tapi apa yang kerajaan buat adalah berikan insentif bernilai RM42 juta sebulan kepada syarikat-syarikat gula ini untuk stabilkan bekalan.

“Jadi apa yang boleh saya tegaskan di sini berita spekulasi kenaikan harga gula itu berlaku April lalu dan setakat ini, Kabinet tidak membuat sebarang keputusan mengenainya,” katanya ketika diminta mengulas dakwaan kerajaan akan melakukan pengapungan harga gula dalam masa terdekat.

Terdahulu, Fuziah menghadiri Program Hari Terbuka MySubsidi Diesel Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 2.0 Peringkat Negeri Pulau Pinang di Sungai Bakap, di sini.

Tambah Fuziah, kerajaan juga belum membuat keputusan berhubung tempoh pemberian insentif itu kepada pihak industri gula.

“Setakat ini pembelian insentif itu masih berjalan dan tiada tempoh sampai bila ia akan diberikan,” katanya.

Media pada April lalu melaprokan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memaklumkan kenaikan harga kawalan gula daripada RM2.85 sekilogram ketika ini selain isu subsidi gula antara sedang difikirkan menerusi mekanisme baharu penentuan harga yang akan diputuskan pada Jun depan.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, penyelesaian perkara berkenaan bukan suatu yang mudah terutama sekiranya melibatkan kenaikkan harga kawalan.

Kata beliau, perkara tersebut perlu difikirkann dengan teliti bagi menangani isu penyeludupan berikutan harga di negara ini masih rendah berbanding RM5 sekilogram di Indonesia dan RM8.30 di Filipina. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here