Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerangkan kerajaan tidak bimbang dengan penurunan aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) yang direkod tahun lalu.

Jelas Anwar, penurunan itu berikutan nilai keseluruhan pelaburan diterima negara sudah mencatatkan peningkatannya.

“FDI memang menurun pada 2023, tetapi pelaburan keseluruhannya itu tertinggi kerana ia tertinggi yang melibatkan peningkatan mendadak pelaburan domestik.

“Sebab itu, kita tidak bimbang terutama melihat kepada angka suku pertama 2024 di mana pelaburan asing meningkat.

“Saya tidak punyai angkanya sekarang tapi sudah diumumkan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) bahawa angka untuk 2024 jauh lebih tinggi dari yang diunjurkan sebelumnya dan diberikan secara terperinci nama syarikat dan jumlah pelaburannya,” katanya yang juga Menteri Kewangan.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Datuk Idris Ahmad (PN-Bagan Serai) pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat hari ini.

Dalam pada itu, Anwar berkata, penurunan itu antara lain disokong dan diimbangi oleh aliran masuk pelaburan domestik yang kukuh.

Untuk rekod, Malaysia mencatatkan aliran masuk bersih pelaburan langsung asing (FDI) sebanyak RM40.4 bilion pada tahun 2023 berbanding RM75.4 bilion pada tahun sebelumnya, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata penurunan aliran masuk bersih FDI ini terutama dalam ekuiti dan saham dana pelaburan, mencerminkan kelembapan ekonomi global. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast