MELAKA – Penganjur Uptown Pahlawan Walk di Banda Hilir di sini akan dipanggil berhubung isu kenderaan buruk yang dijadikan stor menyimpan khemah, meja dan alatan lain oleh peniaga di tapak baharu parkir hadapan Menara Taming Sari, Banda Hilir di sini sejak enam bulan lalu.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Shadan Othman berkata, ia bagi membincangkan apakah usaha yang boleh diambil untuk membersihkan imej pelancongan negeri Melaka dari persekitaran yang menyakitkan mata itu.
“Saya akan panggil penganjur untuk mencari apakah penyesaian sesuai supaya perkara ini tidak berpanjangan lebih-lebih lagi sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).
“Ini kerana sebelum ini mereka beroperasi di tapak lama di parkir hadapan Plaza Mahkota sebelum berpindah ke tapak baharu itu sejak 12 Januari lalu dan hanya berniaga pada hujung minggu,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Pada Sabtu lalu, MalaysiaGazette melaporkan kekecewaan beberapa peniaga dan pengunjung kawasan ikonik pelancongan negeri itu mengenai lebih 10 kenderaan peniaga pasar malam yang terbiar di situ sejak lebih enam bulan lalu.
Peniaga restoran yang enggan dikenali berkata, sudah berpuluh rungutan diterima daripada pelanggan yang sukar mendapatkan parkir di kawasan berkenaan sehingga mereka terpaksa membatalkan niat ke lokasi utama pelancongan itu.
Tinjauan MalaysiaGazette di kawasan itu mendapati lebih 10 buah kenderaan tersadai yang boleh dikategorikan ‘besi buruk’ kerana cat yang lekang, tayar pancit selain lesen kenderaan motor (LKM) tamat tempoh.
Malah terdapat juga kereta yang sudah rosak akibat cermin hadapan dan belakang pecah selain notis kompaun sudah lusuh di kawasan yang mempunyai 210 petak parkir di kiri, kanan dan ruang tengah jalan itu.
Bermula 12 Januari lalu, kira-kira 190 peniaga Uptown Pahlawan Walk di sini dipindahkan ke lokasi baharu itu.
Uptown tersebut beroperasi pada setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad serta sepanjang pelaksanaan Zon Bebas Kenderaan bermula 6 petang hingga tengah malam. – MalaysiaGazette