Ahli Parlimen Mukah, Datuk Hanifah Hajar

KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat diberitahu Kerajaan Perpaduan komited untuk menoktahkan kemiskinan tegar tanpa mengira latar belakang kaum dan wilayah atau negeri.

Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Hanifah Taib berkata, langkah itu adalah selaras dengan matlamat pembangunan inklusif supaya tiada yang tertinggal dan terpinggir daripada arus pembangunan sosioekonomi.

Dalam usaha untuk menoktahkan kemiskinan tegar di seluruh negara, tumpuan diutamakan kepada negeri dan wilayah yang mempunyai peratusan kemiskinan tegar yang lebih tinggi melebihi paras nasional seperti di Sabah (1.2%), Kelantan (0.8%), Sarawak (0.4%) dan Kedah (0.3%).

“Kerajaan memastikan penglibatan lebih ramai golongan sasar miskin tegar menyertai program pembasmian kemiskinan tegar yang dilaksanakan oleh pelbagai kementerian dan agensi di seluruh negara,” jawab Hanifah di Dewan Rakyat hari ini.

Terdahulu, Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) mengutarakan soalan dalam sesi soalan lisan yang ingin tahu negeri seterusnya yang disasarkan oleh kerajaan untuk mencapai sifar miskin tegar serta pelan tindakannya.

Menjawab soalan itu, Hanifah berkata, keutamaan akan diberi untuk memantapkan penyediaan infrastruktur, mengoptimumkan potensi ekonomi, menambah baik akses kepada perkhidmatan sosial, mempertingkat pembangunan inklusif dan memperkukuh kerjasama antara agensi Persekutuan dan kerajaan negeri.

“Ini dilaksanakan untuk meningkatkan akses dan peluang pertumbuhan yang seterusnya dapat meningkatkan peluang pekerjaan, keusahawanan dan taraf hidup.

“Selain itu, Kerajaan turut memperuntukkan sejumlah besar dana bagi melaksanakan program menangani kemiskinan di bawah pelbagai kementerian dan agensi antaranya meliputi program-program keusahawanan, modal insan, program peningkatan pendapatan lain untuk ketua isi rumah (KIR) miskin tegar,” jelas Hanifah lagi.

Hanifah berkata, bagi negeri Kelantan, program IPR telah memberi limpahan manfaat kepada 315 isi rumah miskin tegar, miskin dan B40 melalui program Inisiatif Usahawan Makanan (INSAN) dan pendekatan basmi miskin tegar (BMT).

Malah terdapat peserta yang telah berjaya meraih hasil jualan bulanan berjumlah RM21,900 pada bulan Januari 2024 melibatkan mesin layan diri yang beroperasi di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Machang.

“Pelaksanaan program IPR juga akan turut dikembangkan dengan pelaksanaan Inisiatif Usahawan Tani (INTAN) di negeri Kelantan.

“Dalam hubungan ini, kerjasama Kerajaan Negeri adalah dimohon untuk memberi pajakan tanah dalam tempoh sekurang-kurangnya lima tahun bagi pelaksanaan program pertanian di bawah INTAN,” jelasnya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here