Arthur (tengah) bergambar bersama penerima bantuan dan insentif di bawah agensi KPKM berjumlah RM4.73 juta di Telok Mas, Melaka hari ini.

MELAKA – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menyalurkan RM34.09 juta bagi menyokong agenda pembangunan industri agromakanan di Melaka.

Timbalan Menterinya, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, daripada jumlah tersebut sebanyak RM21.3 juta diperuntukkan secara terus kepada kerajaan negeri.

Ia merupakan dana di bawah Program Mengoptimumkan Penggunaan Tanah Ke Arah Keterjaminan Makanan Negara bagi membantu pelaksanaan projek-projek agromakanan negeri.

Menurut beliau, antaranya termasuklah menaik taraf Kompleks Teknologi Pertanian Sungai Udang, Penternakan dan Pembenihan lkan Air Tawar dan Projek Sekuriti Makanan Pertanian Melaka.

“Bantuan ini adalah sebagai menghargai pengorbanan dan peranan para peladang, penternak dan nelayan di negeri Melaka dalam memajukan sektor agro-makanan negara.

“Ia sekali gus memastikan keterjaminan bekalan dan kecukupan makanan yang berkualiti kepada rakyat Malaysia,” katanya.

Arthur Joseph Kurup

Beliau berkata demikian dalam ucapan Program Libat Urus Bersama Warga Peladang, Penternak Dan Nelayan Negeri Melaka di Telok Mas di sini hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, industri pertanian merupakan salah satu daripada penyumbang utama keluaran dalam negara kasar (KDNK) Melaka sebanyak RM4.5 bilion kepada KDNK negeri pada tahun 2022.

“Kluster tanaman merupakan penyumbang terbesar iaitu sebanyak 57.8 peratus diikuti kluster ternakan 40.5 peratus dan perikanan 1.7 peratus,” katanya.

Pada program itu, Arthur turut menyampaikan bantuan dan insentif di bawah agensi KPKM berjumlah RM4.73 juta kepada kumpulan sasar KPK negeri.

“Diharapkan, bantuan dan insentif ini akan menyuntik semangat untuk terus memainkan peranan yang proaktif dalam merancakkan industri pertanian dan agromakanan negara,” tambahnya lagi. – MalaysiaGazette.

 

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here