Tangkap layar rakaman video menunjukkan seorang individu turun dari Vellfire hitam sebelum mengambil sebuah bungkusan atas pagar rumah di Taman Desa Cemerlang, Ulu Tiram, Johor Bahru pada Khamis lalu.

JOHOR BAHRU – Satu rakaman video tular menunjukkan seorang individu menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire dan mencuri bungkusan yang ditinggalkan atas pagar rumah di Taman Desa Cemerlang, Ulu Tiram di sini semalam.

Menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang tular dalam media sosial itu memaparkan MPV berkenaan bergerak perlahan sebelum memberhentikan kenderaan di hadapan rumah terbabit.

Seorang individu memakai baju putih dan bertopeng keluar dari tempat duduk belakang Vellfire warna hitam itu dan mengambil bungkusan sebelum tergesa-gesa memasuki semula kenderaan tersebut dan beredar laju tanpa sempat menutup pintunya.

Mengulas mengenainya, Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, anggota di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam mengesan video berkenaan yang tular dalam Facebook semalam.

“Kejadian tersebut dilaporkan seorang lelaki tempatan berusia 59 tahun. Hasil siasatan mendapati kejadian dalam video yang berdurasi 41 saat itu berlaku pukul 3.49 petang Khamis lalu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kes disiasat bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Polis sedang giat mengesan suspek dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian jenayah ini boleh salurkan kepada Pegawai Penyiasat Kanan Asisten Superintendan Afzan Musa 016-2956969 atau 07-3864222. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here