Khiew Hoe Yean

KUALA LUMPUR: Bintang renang Universiti UCSI, Khiew Hoe Yean, telah dipilih untuk mewakili Malaysia ke Sukan Olimpik Paris 2024 dalam acara 400m gaya bebas lelaki.

Ini merupakan kali pertama seorang atlet UCSI akan bertanding di Olimpik dan semua mata akan tertumpu kepada Hoe Yean ketika beliau berusaha untuk mencatat prestasi terbaiknya di pentas sukan yang terbesar ini.

Hoe Yean adalah pemegang rekod kebangsaan pada masa ini dengan catatan masa 3 minit dan 48.36 saat.

Rekod itu dicapai beliau di Australian Open pada bulan April lalu.

“Saya bersyukur atas peluang ini dan ingin mengucapkan terima kasih kepada Universiti UCSI, Majlis  Sukan Negara, Persatuan Renang Malaysia, Majlis Olimpik Malaysia, Institut Sukan Negara, keluarga dan rakan-rakan atas sokongan mereka.

“Saya akan berusaha sebaik mungkin untuk mewakili Malaysia di Paris,” kata Hoe Yean ketika dihubungi dari kem latihannya di Australia.

Hoe Yean menerima tiket wild card daripada World Aquatics di atas prestasi tertinggi beliau dalam kalangan perenang lelaki Malaysia sepanjang tahun lalu. Beliau berjaya mengumpul 895 (400m gaya bebas), 847 (200m gaya bebas), dan 829 (800m gaya bebas) mata.

Hoe Yean merupakan pelajar ijazah sains komputer di UCSI. Beliau telah menjalani latihan di Australia selama enam bulan, menyertai kem Samuel Short, juara dunia FINA 400m gaya bebas 2023.

Kem ini telah memberikan hasil yang baik buat Hoe Yean apabila berjaya memecahkan rekod kebangsaan dalam 400m gaya bebas, 800m gaya bebas, dan 1,500m gaya bebas sepanjang enam bulan lepas.

Beliau kini akan menjalani kem latihan di Denmark sebelum bergerak ke Paris.

Sukan Olimpik Paris 2024 dijadualkan berlangsung dari 26 Julai hingga 11 Ogos. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here