ALOR GAJAH – Seorang gadis maut manakala remaja parah selepas motosikal yang ditunggang bertembung ketika sedang memotong di Jalan Telok Gong, di sini, hari ini.
Dalam nahas kira-kira pukul 2.30 petang itu, mangsa pekerja sebuah kafe, Syakirul Farha Mohd Redhuan, 20, meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, ketika kejadian mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda Vario dalam perjalanan dari arah Kuala Sungai Baru menghala ke Pengkalan Balak.
“Sampai di tempat kejadian, ketika sedang memotong sebuah kenderaan lain di hadapannya, motosikalnya bertembung dengan motosikal lain dari arah hadapan.
“Akibatnya, mangsa cedera parah di kepala disahkan maut di lokasi oleh pegawai perubatan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Tambahnya, remaja lelaki berusia 18 tahun yang menunggang motosikal jenis Yamaha 135LC pula cedera pada bahagian muka serta patah kaki kanan.
“Mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Polis meminta saksi mata yang melihat kejadian tersebut tampil bagi membantu siasatan,” tambahnya.