KUALA LUMPUR – Masa depan lebih 280,000 lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang gagal atau hanya lulus tanpa kredit perlu difikirkan berbanding kemasukan semua lepasan SPM dengan 10A yang layak masuk ke program matrikulasi tanpa mengira kaum.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dasuki berkata, mereka tercicir dan tidak layak masuk ke program matrikulasi itu tidak termasuk 10,160 tidak hadir SPM walaupun telah berdaftar dan lebih 30,000 secara purata setahun tidak mendaftar untuk mengambil SPM.
Oleh itu, katanya, jawapannya untuk golongan itu ialah Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
“Sebab itulah Dasar TVET Negara diwujudkan dengan Majlis TVET Negara yang dipengerusikan Datuk Seri Dr Zahid Hamidi untuk menyelaras 1,345 institusi TVET di bawah 12 Kementerian yang menawarkan lebih 4,000 pelbagai bidang kemahiran TVET dengan peluang penempatan untuk lebih 250,000 tempat,” katanya.
Katanya, Mara mempunyai insitusi-institusi TVET terbanyak dengan 270 institusi terdiri daripada GiatMARA, Institut Kemahiran MARA (IKM), Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) hinggalah UniKL.
Jelas beliau,hari ini negara sudah mengiktiraf TVET sebagai aliran pendidikan perdana dan tidak lagi memerlukan SPM sahaja sebagai syarat minima untuk bekerja.
Malah dengan Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 3, pelajar boleh sambung peringkat diploma, manakala SKM tahap 5 boleh terus sambung ijazah sarjana muda tanpa perlu mengambil SPM, ujar beliau. – MalaysiaGazette