KUALA LUMPUR – TNG Digital Sdn. Bhd. dengan kerjasama CIMB memperkenalkan pelaburan emas digital, e-Mas bagi membolehkan pengguna berniaga emas menerusi TNG e-Wallet.
Melalui e-Mas, pengguna boleh memantau harga semasa dan menguruskan pelaburan mereka secara langsung dan membolehkan pengguna labur serendah RM10.
Ketua Pegawai Eksekutif TNG Digital, Alan Ni berkata, platform pelaburan emas digital di e-Mas tidak mengenakan sebarang caj kepada pengguna.
“Apa yang membezakan produk kami dengan produk pelaburan yang lain adalah tiada sebarang caj dikenakan dan setakat ini lebih 100,000 orang telah mendaftar dengan e-Mas dan lebih 40,000 pengguna telah pun mula melabur sepanjang minggu lepas, ” katanya dalam Majlis Pelancaran TNG eWallet, e-Mas di sini hari ini.
e-Mas merupakan salah satu produk perkhidmatan kewangan di bawah ciri pelaburan TNG eWallet, yang bertujuan memberi rakyat Malaysia untuk membuat keputusan kewangan lebih baik.
Selain itu, penawaran produk pelaburan tersebut adalah tidak patuh syariah dan TNGD serta CIMB sedang bekerjasama untuk menawarkan pilihan pelaburan emas patuh syariah pada masa hadapan. – MalaysiaGazette