Calon Pakatan Harapan, Dr Joohari Ariffin menunjukkan manifesto bersama Jentera Perikatan Nasional di sidang media sempena pilihan raya kecil (PRK) N20 Sungai Bakap di Perkarangan BO Induk Sungai Bakap, Pulau Pinang. Foto AIZAT ZAINAL, 29 JUN 2024.

NIBONG TEBAL – Calon Perikatan Nasional (PN), Abidin Ismail menawarkan manifesto bertemakan KERJA untuk pengundi Sungai Bakap pada Pilihan Raya Kecil (PRK) yang akan berlangsung Sabtu ini.

Abidin berkata, KERJA itu adalah kata kunci untuk khidmat masyarakat, ekonomi, rangkaian infrastruktur, jaminan mengutamakan rakyat serta amanah dan integriti.

Jelas beliau, kesemua tawaran itu adalah sambungan legasi bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Bakap, Nor Zamri Latiff yang belum sempat dilaksanakan.

“Manifesto ini (sebenarnya) apa yang kita telah buat (semasa hayat bersama arwah Abang Zam) cuma kali ini kita memperkukuhkan lagi (tawaran) yang lompong untuk dilaksanakan (kepada penduduk),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media pengumuman ‘Tawaran Buat Rakyat’ oleh PN sempena PRK Sungai Bakap di Bilik Gerakan Utama PN di Taman Halaman Indah di sini hari ini.

Ketika diminta mengulas sama ada pihaknya sempat untuk menyampaikan manifesto kepada pengundi susulan kempen berbaki tiga hari, Abidin menegaskan, pihaknya mampu berbuat demikian bantuan jentera.

Dalam perkembangan lain, Abidin memaklumkan penerimaan masyarakat berbilang kaum terhadapnya sepanjang 11 hari berkempen amat baik selain berharap momentum itu dapat dikekalkan sehingga hari mengundi.

Feedback (maklum balas) kita terima tidak kira dari kaum tionghua (cina), India dan Melayu amat baik, kita dapati gelombang (sokongan) itu ada.

“Tidak perlu letak berapa peratus (sokongan) tetapi movement (gerakan menyokong) itu ada,” katanya.

Untuk rekod perincian tawaran KERJA, Abidin, ‘K’ merujuk kepada Khidmat Masyarakat iaitu menyediakan dua pusat khidmat masyarakat dan perkhidmatan bergerak untuk memudahkan penduduk mendapat bantuan termasuk menggerakkan pertubuhan sukarelawan serta perkhidmatan bantuan kecemasan.

E pula merujuk kepada Ekonomi dan Peluang Pekerjaan iaitu menganjurkan latihan usahawan, mengusahakan bantuan kewangan dan menggalakkan promosi produk pelancongan.

Bagi R ia merujuk kepada Rangkaian Infrastruktur iaitu bertekad untuk menyelesaikan masalah bekalan air, memastikan penyelenggaraan jalan raya berkualiti dan menambahbaik kemudahan awam.

Huruf J merujuk kepada Jaminan Mengutamakan Rakyat iaitu menjamin suara rakyat, menentang polisi membebankan dan mempertahankan hak rakyat.

Manakala A pula Amanah dan Integriti iaitu membuat pemantauan projek dengan memastikan ia dijalankan tanpa ada unsur rasuah dan salah guna kuasa, menguruskan dana awam dengan bijaksana untuk manfaat semua lapisan masyarakat dan memberi laporan tahunan kepada rakyat. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here