Naib Ketua Pemuda Perikatan Nasional, Mohd Hafiz bin alias bercakap pada sidang media sempena pilihan raya kecil (PRK) N20 Sungai Bakap di Perkarangan BO Induk Sungai Bakap, Pulau Pinang. Foto AIZAT ZAINAL, 29 JUN 2024.

NIBONG TEBAL – Pemuda Perikatan Nasional (PN) Pulau Pinang menyelar dakwaan Rafizi Ramli berhubung dua Unit Daerah Mengundi (UDM) PN bagi mengerakkan jentera Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap ditutup.

Timbalan Ketua Pemuda PN negeri, Muhamad Hafis Alias berkata, UDM Sungai Duri dan Sungai Bakap itu masih beroperasi sehingga hari ini sekali gus menunjukkan dakwaan Timbalan Presiden PKRi itu satu pembohongan.

“Semalam kami telah hadiri ke UDM berkenaan dan sambutan gerak kerja di sana berjalan dengan lancar kecuali waktu solat memang la kami semua diajar untuk tinggalkan sebentar UDM bagi menunaikan tanggungjawab sebagai orang Islam.

“Jadi kita gesa Rafizi untuk hentikan pembohongan sebegini dan mengamalkan konsep politik matang,” katanya pada sidang media di Bilik Gerakan Utama PN di Taman Halaman Indah di sini hari ini.

Terdahulu, tular rakaman video kenyataan Rafizi dalam satu ceramah Perpaduan di Sungai Bakap yang mendakwa dua UDM milik PN telah ditutup.

Kerusi DUN Sungai Bakap menyaksikan pertandingan dua penjuru dengan dua calon iaitu Dr Joohari Ariffin daripada Kerajaan Perpaduan dengan calon PN, Abidin Ismail.

PRK DUN Sungai Bakap diadakan berikutan kematian Nor Zamri pada 24 Mei lepas akibat penyakit keradangan dalam perut.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 6 Julai depan sebagai hari mengundi. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here