Tujuh ahli sindiket along haram maasing-masing didenda RM2,000 dan RM2,500 oleh Mahkamah Majistret Melaka, Ayer Keroh hari ini selepas mengaku bersalah menjalankan kegiatan pinjaman wang tanpa lesen, bulan lalu.

MELAKA – Tujuh ahli sindiket ahlong maasing-masing didenda RM2,000 dan RM2,500 oleh Mahkamah Majistret Melaka, Ayer Keroh hari ini selepas mengaku bersalah menjalankan kegiatan pinjaman wang tanpa lesen bulan lalu.

Majistret Khairunnisak Hassni menjatuhkan hukuman itu selepas menerima pengakuan bersalah tertuduh, Gabriel Ng Jia Rong, 29, Lai Kok Peng, 48, Chong Kok Wei, 22, Mah Chung Ming, 18, Pang Xuan Yi, 18, Celine Tan Yan Yi, 18, dan Tan Wui Hong, 52, sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh didapati telah menjadi pihak kepada suatu pakatan jahat jenayah untuk melakukan kesalahan iaitu memberi pinjaman wang tanpa lesen.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Parkland Residence, Jalan Tun Perak dalam daerah Melaka Tengah kira-kira pukul 12.40 tengah 25 Jun lalu.

Jika sabit kesalahan, kesemua tertuduh boleh dihukum penjara tidak lebih dua tahun atau denda maksimum RM20,000 atau keduanya sekali mengikut Seksyen 120B(1) Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 29AA Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951 (Akta 400).

Mengikut fakta kes, kesemua tertuduh ditahan Unit Risikan Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di sebuah kondominium mewah dalam Op Vulture.

Kumpulan itu menyasarkan pelanggan sekitar Melaka, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Johor dengan pinjaman antara RM500 dan RM5,000 serta mengenakan faedah tinggi sehingga 20 peratus seminggu.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Wardah Ishhar memohon hukuman setimpal kerana kesemua tertuduh bersubahat bekerja sebagai along tidak berdaftar.

Peguam, Umar Zulkarnain yang mewakili kesemua tertuduh bagaimanapun merayu denda rendah dengan alasan anak guamnya telah insaf dan hanya berpendapatan antara RM1,500 dan RM2,000 sebulan.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM2,000 terhadap Chung Min, Xuan Yi dan Yan Yi manakala Jia Rong, Kok Peng, Kok Wei dan Wui Hong didenda RM2,500 atau tiga bulan penjara jika kesemua tertuduh gagal membayar denda. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here