Pelajar membuat rekaan di ruang pameran Kemahiran Cabaran pada Hari Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (TVET) Negara 2024 di ILP Kuala Langat, Selangor. Foto SYADILA AMARI, 08 JUN 2024. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Sebanyak 5,125 kuota diberikan oleh China kepada pelajar Malaysia untuk menjalani Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) tajaan industri oleh 114 Institusi berkenaan di negara itu.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohamad Alamin berkata, TVET merupakan topik utama yang telah dibincangkan semasa lawatan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ke China pada Mei lalu.

Katanya, dalam hal tersebut kedua-dua negara bersetuju untuk mempertingkatkan usaha sedia ada dalam meneroka peluang kerjasama bagi mewujudkan lebih ramai tenaga kerja mahir dalam bidang teknologi tinggi.

“Malaysia juga bercadang untuk terus menghantar lebih ramai pelajar dan tenaga pengajar ke China terutamanya ke Majlis Latihan Vokasional Hong Kong yang merupakan institusi terbesar dalam bidang pendidikan dan latihan vokasional dan professional,” katanya pada sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan, Tan Kok Wai (PH-Cheras) yang meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan hasil lawatan Timbalan Perdana Menteri ke China bersempena dengan ulang tahun ke-50 hubungan dua hala.

Dalam pada itu Mohamad berkata, perkara lain yang turut menjadi tumpuan iaitu pembangunan industri halal dan kesalinghubungan serta hubungan sesama rakyat.

Mohamad Alamin

Ujarnya, kedua-dua pihak juga telah bertukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa yang melibatkan kepentingan bersama termasuklah bidang teknologi tinggi, tenaga yang boleh diperbaharui, ekonomi digital dan semi konduktor.

“Yang Amat Berhormat, Timbalan Perdana Menteri turut menggalakkan pihak China untuk meningkatkan pelaburan dan kerjasama yang sedia ada di dalam sektor ekonomi dan sosial seperti projek-projek utama Malaysia dan China termasuk Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Dua Negara, Taman Berkembar, dengan izin, “Two Countries, Twin Parks,” dan lain-lain projek di bawah Inisiatif Jalur dan Laluan, atau dengan izin, Belt and Road Initiative (BRI).

“Kerjasama ini adalah penting bagi terus merancakkan hubungan pelaburan dan perdagangan yang kini berada pada tahap yang sangat memuaskan di mana China merupakan rakan dagang terbesar bagi Malaysia selama lima belas tahun berturut-turut sejak tahun 2009 dan menyumbang sebanyak 17.1 peratus daripada jumlah keseluruhan perdagangan global Malaysia,” tambahnya. – MalaysiaGazette

 

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here