Peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah bercakap kepada media selepas hadir bagi mendengar sambung bicara terhadap anak guamnya bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto MOHD SYADILA AMARI, 05 JUN 2024.

KUALA LUMPUR – Peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mencabar kerajaan menafikan ada satu titah atau ‘perintah tambahan’ yang membolehkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjalani baki hukuman penjara sebagai tahanan dalam rumah.

Beliau yang mengetuai pasukan pembelaan Najib mendakwa sehingga saat ini, belum ada mana-mana pihak dalam kerajaan menafikan adanya dokumen perintah tambahan itu.

“Kalau memang tidak ada mengapa sehingga hari ini tidak mahu cakap?

“Anda semua fikir sendiri ini adalah perkara müstahak tidak ada sesiapa tampil nafikan pun. Kalau memang tidak ada, mengapa tidak mahu buka mulut? Cakaplah.

“Jangan buang masa kalau tidak ada,” katanya kepada media di luar lobi Mahkamah Jalan Duta hari ini.

Muhammad Shafee berkata, pihaknya sudah menulis surat rasmi sebanyak tiga kali kepada Peguam Negara, Menteri Undang-Undang dan Reformasi selain Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan berhubung perkara itu namun mengecewakan kerana sehingga hari ini tidak ada sebarang maklum balas.

“Kerajaan perlu mengesahkan wujud atau tidak adendum itu. Apa yang anda lihat adalah kerajaan ‘berlakon’ pekak dan bisu, main sorok-sorok dengan adendum itu. Satu hari nanti ia akan muncul dalam keadaan paling buruk,” ujarnya.

Hari ini, Mahkamah Tinggi di sini menolak menolak kebenaran untuk Najib mencabar kewujudan titah adendum yang dikatakan telah diperkenan Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Ini berkaitan Najib menjalani baki hukuman penjara enam tahun di rumah.

Muhammad Shafee juga memaklumkan mahkamah bahawa pihaknya sedang menimbangkan tindakan undang-undang berasingan berhubung dakwaan titah tambahan diraja itu iaitu dalam bentuk writ saman di Mahkamah Sivil di sini.

Pada prosiding hari ini juga, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Amarjeet Singh ketika membacakan keputusannya pagi ini berkata, beberapa afidavit termasuklah Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail tidak boleh digunakan kerana hanya sekadar ‘dengar cakap’ sahaja. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.