Sim Tze Tzin hadir pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Parlimen buat julung kalinya akan dibentang dan dibahaskan di Dewan Rakyat bermula sesi bersidang minggu hadapan.

Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) berkata, ia merupakan sebahagian daripada bukti reformasi institusi yang dijanjikan Kerajaan Madani.

Selain itu, katanya, Rang Undang-Undang (RUU) Audit Pindaan 2024 dan perbahasan laporan audit di Parlimen juga menjadi kejayaan reformasi daripada kerajaan.

“Untuk pengetahuan NGO (badan bukan kerajaan) seperti Bersih (Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil) tiga perkara ini adalah reformasi institusi dijanjikan Kerajaan Madani.

“Mereka selalu kata kerajaan lewat dan tak lakukan reformasi institusi. Inilah bukti bahawa kejayaan Kerajaan Madani untuk lakukan reformasi,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Audit pindaan 2024 Bacaan Kali Kedua, di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut Tze Tzin, RUU berkenaan merupakan satu bentuk reformasi institusi yang sangat bermakna kerana selama ini jabatan audit tidak ada kuasa untuk meluaskan kuasa mengaudit syarikat-syarikat persendirian yang menerima geran kerajaan.

“Kita tahu keterbatasan itu menyebabkan tangan-tangan ghaib daripada audit tersekat.

“Kita tahu sejarah jabatan audit penuh dengan liku-liku yang susah dan terutamanya pada 2015 hingga 2018 di mana pegawai-pegawai jabatan audit lakukan siasatan skandal besar penuh dengan tekanan, pelbagai dugaan sehingga pegawai diugut, ditukar dan dikenakan tindakan,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast