KUANTAN – Layang-layang pancing dijangka menjadi trend terbaharu di Pantai Sepat, di sini sempena Festival Layang-Layang Antarabangsa Kuantan kali kedua 2024 bermula hari ini sehingga Ahad.
Salah seorang peniaga layang-layang yang ditemui, Farah Aziana Anuar, 37 memberitahu, dia mensasarkan penjualan sehingga 1,000 unit layang-layang jenis itu.
“Tahun ini kita bawa kira-kira 4,000 layang-layang pelbagai jenis. Ada tiga saiz iaitu kecil, sederhana dan besar selain layang-layang trend terbaru, iaitu layang-layang pancing,” katanya.
Dia yang biasa menyertai Festival Layang-Layang Antarabangsa lebih 15 tahun tahun lalu berkata, layang-layang jenis pancing lebih mendapat sambutan dalam kalangan kanak-kanak kerana ia lebih mudah dikendali berbanding layang-layang lain.
Harga layang-layang itu pula bergantung kepada saiz di mana ia dijual pada harga RM15 bagi yang kecil dan RM20 bagi yang bersaiz lebih besar.
Farah yang mempersiap gerai jualannya di sini sejak petang semalam berharap lebih ramai pengunjung datang dan memeriahkan sambutan Festival Layang-Layang Antarabangsa kali ini berbanding tahun lepas.
“Alhamdulillahh sambutan tahun lepas di sini menggalakkan. Harapannya agar tahun ini lebih memberangsangkan dengan lebih ramai pengunjung yang datang,” katanya.
Sementara itu, sepasang suami isteri Norhaida Gasuling, 49 dan suaminya Roslan Ali, 57 berasal dari Pasir Gudang, Johor turut teruja mengambil bahagian berniaga sempena Festival Layang-Layang Antarabangsa Kuantan, di sini kali ini.
“Kami berniaga layang-layang sejak lebih 10 tahun lepas dan ini kali pertama menyertai festival ini di Pantai Sepat,” kata wanita itu.
Pasangan itu memberitahu mereka menyediakan lebih 2,000 unit layang-layang pelbagai saiz untuk dijual kepada pengunjung termasuk layang-layang pancing.
“Kami bawa kira-kira 1,500 unit layang-layang biasa, kira-kira 500 unit layang-layang pancing. Harga pula paling murah kita jual RM10 seunit sehingga RM120 seunit bagi yang bersaiz lebih besar,” tambah Norhaida lagi.
Mereka juga mengharapkan kehadiran ramai pengunjung sehingga hujung minggu ini bagi memeriahkan program terbabit.
Penganjuran Festival Layang-Layang Antarabangsa Kuantan kali ke-2 2024 bermula 3 Julai sehingga 7 Julai di Pantai Sepat, di sini bakal menyaksikan penglibatan peserta daripada 15 buah negara.
Pelbagai program diadakan meliputi Penerbangan Layang-Layang Gergasi oleh peserta antarabangsa dan Bengkel Wau Tradisi bagi menarik ramai pengunjung pelbagai peringkat umur. – MalaysiaGazette