Tertuduh, Yew Weng Dong, 25, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Alor Gajah, di sini hari ini.

ALOR GAJAH – Lelaki yang sanggup mengambil upah daripada ceti haram membakar kenderaan pelanggannya menggunakan bom petrol bulan lalu dihadapkan ke ke Mahkamah Sesyen Alor Gajah hari ini atas pertuduhan melakukan khianat dengan api.

Tertuduh, Yew Weng Dong, 25, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Nariman Badruddin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan khianat dengan api yang menyebabkan kerosakan sebuah kereta jenis Perodua Alza milik seorang wanita berusia 35 tahun menyebabkan kerugian sebanyak RM8,881.82.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah bernombor di Taman Mengkuang Masjid Tanah dalam daerah Alor Gajah kira-kira pukul 3.30 pagi 6 Jun 2024.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara sehingga 14 tahun dan denda mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Ehsan Nasarudin mencadangkan jaminan sebanyak RM20,000.

Peguam Dan Francis yang mewakili tertuduh bagaimanapun merayu jaminan rendah dengan alasan keluarga tertuduh tidak berkemampuan.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM9,000 dengan seorang penjamin bercagar.

Tertuduh turut dikenakan syarat tambahan dilarang mengganggu saksi sehingga kes selesai. Kes akan disebut semula 5 Ogos ini.

Pada 13 Jun lalu, MalaysiaGazette melaporkan akibat terjerat hutang along kerana kalah judi di kasino, seorang lelaki sanggup bekerja dengan ceti haram mengambil upah membakar kenderaan pelanggan sindiket itu menggunakan bom petrol buatan sendiri.

Perbuatan itu terbongkar selepas suspek ditahan di hadapan sebuah rumah di Taman Kok Liang, Kuala Lumpur susulan pihak polis menerima laporan kes khianat kenderaan dibaling bom petrol di sebuah rumah di Taman Mengkuang, Masjid Tanah, Alor Gajah, 6 Jun lalu.

Hasil siasatan lanjut polis mendapati, suspek mengaku bekerja dengan sebuah syarikat pinjaman wang di Singapura dengan bayaran RM1,000 bagi setiap tugasan khianat bom petrol. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast