NIBONG TEBAL – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan meminta pengundi luar memanfaatkan cuti panjang sehingga Isnin ini untuk pulang mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap Sabtu ini.
Beliau yang juga Ketua Sekretariat War Room PRK Sungai Bakap berkata, ia susulan bagi memastikan peratusan keluar mengundi meningkat berbanding peratusan Pilihan Raya Negeri (PRN) pada Ogos tahun lalu.
“Kita berharap agar peratusan keluar mengundi tidak terlalu rendah (Sabtu ini) dibandingkan dengan PRN yang lalu iaitu sebanyak 77 peratus.
“Kalau kita bandingkan PRK Kuala Kubu Bharu baru ini, peratusan keluar mengundi adalah 61 peratus dan ia menunjukkan penurunan sebanyak tujuh peratus pada PRK baru-baru ini.
“Bagi Sungai Bakap, pengundi luarnya adalah dalam persekitaran Pulau Pinang jadi kita harap mereka manfaatkan cuti panjang Sabtu sehingga Isnin ini untuk balik kampung mengundi,” katanya kepada pemberita di Pusat Media PRK Sungai Bakap di sini, hari ini.
Mengulas lanjut Ahmad secara berseloroh menyeru pengundi luar pulang hanya jika berhasrat mengundi calon Kerajaan Perpaduan, Dr. Joohari Ariffin.
“Seruan ini untuk mereka yang ingin mengundi calon nombor satu (pulang ke kampung) namun sekiranya mereka ingin mengundi calon nombor dua.. Itu saya rasa tak balik pun tak apa.
“Bila kita memilih calon yang kita ingin pangkah mestilah calon itu berada di pihak Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat kerana realiti dalam politik Malaysia, jika kita berada dalam kerajaan maka kita mudah untuk menyelesaikan masalah-masalah serta mendapatkan peruntukan-peruntukan
“Jadi gesaan saya, kita kena berfikir secara rasional (memilih calon wakil rakyat) dan jangan hanya menggunakan sentimen semata-mata,” katanya.
Kerusi DUN Sungai Bakap menyaksikan pertandingan dua penjuru dengan dua calon iaitu Dr Joohari Ariffin daripada Kerajaan Perpaduan dengan calon PN, Abidin Ismail.
PRK DUN Sungai Bakap diadakan berikutan kematian Nor Zamri pada 24 Mei lepas akibat penyakit keradangan dalam perut.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 6 Julai depan sebagai hari mengundi. – MalaysiaGazette