Hamzah.

NIBONG TEBAL – Polis Pulau Pinang telah melakukan persediaan rapi untuk menghadapi proses pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap pada Sabtu ini.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, pihaknya akan menempatkan semua bentuk penugasan di seluruh pusat undi dan tempat pengumuman pengundian.

Jelas beliau, pihak polis juga telah melakukan persediaan menghadapi situasi jangka seperti insiden rusuhan.

“Kita akan menempatkan pasukan simpanan persekutuan dan pasukan tempur ringan di lokasi yang strategik.

“Memasang sistem kamera pengawasan di kawasan-kawasan yang berisiko tinggi dan meningkatkan rondaan.

“Selain itu, kita juga akan mewujudkan tempat perlindungan sementara di lokasi strategik untuk melindungi orang kenamaan semasa rusuhan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mengulas lanjut mengenai laporan sepanjang tempoh kempen Hamzah berkata, sebanyak dua laporan dibuka setakat ini membabitkan kes merosokkan bahan kempen, bendera parti dan kesalahan mengedar risalah yang menyalahi undang-undang.

“Laporan kes merosakkan bahan kempen diterima 27 Jun lalu dan siasatan dibuka mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

“Bagi kes kesalahan edar risalah pula, laporan diterima semalam dan siasatan dibuka mengikut Seksyen 4A Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

“Bagaimanapun, setakat ini tiada sebarang laporan yang menyentuh isu bangsa, agama dan institusi diraja (3R) diterima,” katanya.

Tambah beliau, sebanyak 135 permit telah diluluskan setakat ini bermula hari pertama kempen bermula iaitu 22 Jun lalu.

“Tiada permit ditolak setakat ini dan untuk hari ini saja (hari ke 12 kempen) sebanyak 15 permit telah diluluskan,” katanya.

Kerusi DUN Sungai Bakap menyaksikan pertandingan dua penjuru dengan dua calon iaitu Dr Joohari Ariffin daripada Kerajaan Perpaduan dengan calon PN, Abidin Ismail.

PRK DUN Sungai Bakap diadakan berikutan kematian Nor Zamri pada 24 Mei lepas akibat penyakit keradangan dalam perut.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 6 Julai depan sebagai hari mengundi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast