KUALA LUMPUR – Taktik sekumpulan penjenayah yang menjanjikan urusan pembelian emas sebelum menipu wang tunai berjumlah 360,966 milik seorang jurutera dibongkar polis.
Bagaimanapun, empat suspek termasuk seorang wanita warga asing disyaki terlibatĀ dalam jenayah itu berjaya ditahan pihak berkuasa pada 28 Jun lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya telah menerima laporan dari mangsa, seorang lelaki tempatan berumur 45 tahun mengenai insiden tersebut.
Mangsa dalam laporannya menyatakan pada 24 Jun lalu seorang lelaki menjemputnya datang ke pejabatnya bagi mengadakan pertemuan dengan lelaki lain atas urusan pembelian emas.
“Siasatan awal mendapati, pengadu telah menaiki kereta Toyota Vios dan duduk di tempat duduk hadapan sebelah pemandu yang merupakan suspek sebelum telah dibawa ke Jalan Sulaiman 1, Ampang yang mengatakan akan membuat transaksi di kawasan pejabat suspek.
“Suspek telah turun dari kereta untuk melihat bukti wang sebanyak RM360,966 dari pengadu dan mahu mengira wang itu dalam kereta yang dinaiki mereka berdua.
“Suspek seterusnya meminta pengadu untuk duduk di tempat duduk belakang penumpang untuk menyelia proses kiraan wang yang akan dibuat sebelum pengadu telah meletakkan satu beg yang mengandungi wang tunai RM360,966 di ruangan kaki tempat duduk hadapan dan beralih ke bahagian belakang dalam kereta,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Secara tiba-tiba, kata Hussein, suspek bertindak menarik beg yang mengandungi wang tunai milik pengadu dan terus melulu keluar dari kereta serta melarikan diri bersama wang tunai dengan menaiki sebuah kereta Honda City.
Pengadu yang terkejut cuba untuk membuka pintu kereta Vios untuk keluar tetapi berkunci sebelum melompat keluar dari tingkap kereta namun gagal dalam mengejar suspek.
Bertindak atas laporan pada 28 Jun lalu, sepasukan polis telah berjaya membuat tangkapan terhadap tiga lelaki dan satu wanita warganegara asing.
“Keempat-empat suspek yang berumur 24 tahun hingga 37 tahun itu ditahan di Persiaran TRX dan Jalan Razak Mansion, ibu negara selepas disyaki terlibat dalam kes yang disiasat,” katanya.
Hasil pemeriksaan polis berjaya merampas wang tunai sebanyak RM28,300; dua kereta; enam telefon bimbit, seunit laptop, tiga pakaian dan sepasang kasut, enam keping kad bank; dua rangkai kunci rumah dan tiga buah beg pelbagai jenama daripada mereka.
Siasatan lanjut mendapati kumpulan itu menggunakan modus operandi menjanjikan emas kepada mangsa sebelum melarikan wang semasa transaksi pertukaran berlaku.
Kes sedang disiasat di Bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan iaitu merompak secara berkumpulan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-dua sekali jika disabitkan kesalahan.
“Kesemua suspek yang ditahan itu kini direman sehingga 12 Julai dan juga 16 Julai depan untuk membantu siasatan lanjut,” kata Hussein. – MalaysiaGazette