BENI, DR Congo – Seramai 25 anggota tentera yang didakwa ‘melarikan diri dari musuh’ ketika menentang anggota pergerakan Mouvement du 23 mars (M23) di Republik Demokratik Congo (DR Congo) dijatuhi hukuman mati semasa perbicaraan yang berlangsung selama sehari, menurut para peguam anggota tentera itu.
Seramai 31 defendan, termasuk 27 anggota tentara dan empat orang awam yang merupakan isteri mereka, hahadapkan ke mahkamah tentera Butembo, Kivu Selatan, yang terletak berhampiran dengan kawasan pertempuran.
Mereka berhadapan dengan beberapa pertuduhan termasuk ‘melarikan diri dari musuh’, membazirkan peralatan perang, melanggar arahan dan mencuri, kata salah seorang peguam, Jules Muvweko kepada AFP.
Pada akhir perbicaraan, seramai ’25 tentera termasuk dua kapten dijatuhi hukuman mati’, kata Muvweko sambil menambah pasukan pembelaan akan membuat rayuan.
Defendan lain, termasuk empat perempuan, dibebaskan kerana kekurangan bukti, katanya.
Sejak minggu lalu, M23 menguasai beberapa buah bandar di utara negara itu.
Pergerakan tersebut turut menguasai bandar stategik, Kanyabayonga yang merupakan pintu masuk pusat komersial utama Butembo dan Beni.
Pergerakan M23 turut merampas kawasan subur yang luas sejak beberapa tahun lalu di Kivu Utara dengan beribu-ribu orang kehilangan tempat tinggal.
Terdapat 2.8 juta orang kehilangan tempat tinggal di Kivu Utara, menurut Pejabat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu untuk Hal Ehwal Koordinasi Kemanusiaan.
Kinshasa menuduh Rwanda menyokong Tutsi yang dipimpin pergerakan M23, namun Kigali menafikannya.
Pada Mac lalu, kerajaan Congo membatalkan moratorium hukuman mati yang dikuatkuasakan sejak 2003.
Langkah tersebut disasarkan kepada anggota tentara yang dituduh melakukan pengkhianatan ketika itu apabila pemberontak bersenjata menguasai bahagian timur negara tersebut.
Pada awal Mei, lapan anggota tentera Congo, termasuk lima pegawai dijatuhi hukuman mati di Goma kerana ‘menjadi pengecut’ dan ‘melarikan diri daripada musuh’. – AFP