Tertuduh kerani sebuah syarikat guaman mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini atas tuduhan memberi suapan kepada kenalannya untuk memalsukan laporan polis bagi membuat tuntutan insurans kemalangan tujuh tahun lalu.

MELAKA – Seorang kerani firma guaman mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Melaka, Ayer Keroh hari ini atas tuduhan merasuah kenalannya untuk membuat laporan polis palsu bagi tuntutan insurans kemalangan jalan raya tujuh tahun lalu.

Tertuduh, R Selvarajah, 59, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh telah secara rasuah memberi suatu suapan wang tunai sebanyak RM3,000 kepada Abdul Karim Mohamad sebagai dorongan kepadanya untuk membuat laporan polis palsu pada 11 Mei 2017.

Perbuatan itu dilakukan di Jalan Melaka Raya 12, Taman Melaka Raya dalam daerah Melaka Tengah antara 10 hingga 31 Mei 2017.

Sabit kesalahan, boleh dipenjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi mengikutSeksyen 16(b)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali menawarkan jaminan RM10,000 termasuk syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melapor diri ke Pejabat SPRM Melaka sebulan sekali dan pasport diserah kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Peguam Nahdan Regganathan Abdullah bagaimanapun memohon jaminan dikurangkan kerana anak guamnya perlu menanggung seorang anak yang masih belajar manakala isterinya pula menghidap kanser.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak Hakim Elesabet Paya Wan membenarkan tertuduh dijamin RM6,000 dan membenarkan syarat tambahan dipohon pendakwaan.

Kes akan disebut semula 13 Ogos ini untuk serahan dokumen. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast