(Dari kiri): Siti Patimah, Wan Faziati dan Amir ketika menandatangani MoU berkaitan tenaga boleh diperbaharui antara MISA, Pintare serta Meatech baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Malaysia Industrial Skills Academy (MISA) menjalinkan kerjasama strategik dengan Persatuan Industri Tenaga Boleh Diperbaharui dan Alam Sekitar (Pintare) Sdn. Bhd. memperkenalkan kursus latihan solar melibatkan teknologi yang boleh diperbaharui.

Ketua Pegawai Operasi MISA, Siti Patimah Hussin berkata, kerjasama strategik tersebut menjadi platform untuk golongan muda memilih kerjaya dalam bidang juruteknik solar berkemahiran bagi memenuhi permintaan pasaran yang semakin tinggi.

Menurut beliau, kursus yang mendapat kerjasama strategik daripada Pusat Latihan Kejuruteraan Meatech (Meatech) juga mempunyai beberapa matlamat termasuk melahirkan pekerja mahir yang mempunyai kemahiran dan pengetahuan pemasangan serta penyelenggaraan sistem tenaga solar.

“Pada masa sama, kursus ini juga dapat menyumbang kepada ekonomi negara dengan mencipta peluang pekerjaan baharu dalam sektor yang sedang berkembang pesat ini.

“Justeru, kerjasama strategik MISA dengan Pintare mampu memenuhi keperluan pasaran kerja dalam industri tenaga boleh diperbaharui yang kini menjadi sumber ekonomi baharu di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Majlis menandatangani memorandum persefahaman berlangsung baru-baru ini di mana Pintare diwakili Wan Faziati Wan Sa’ari dan Meatech oleh Amir Hurairah.

Penggunaan tenaga solar di negara ini semakin popular di rumah.

Siti Patimah menambah, kemasukan pelatih teknologi solar itu telah akhir Jun lalu yang memberikan keistimewaan memberi jaminan kerjaya 100 peratus sebaik tamat kursus.

Jelas beliau, MISA menyediakan taklimat program secara percuma dan sesi temuduga untuk menapis para peserta yang berkelayakan dan menguruskan sesi pendaftaran masuk sebelum pelatih diserahkan kepada Pintare.

Sementara itu wakil Pintare, Wan Faziati Wan Sa’ari yang juga Pengurus Puma Solar berkata, Pintare merupakan  persatuan berdaftar yang diasaskan oleh seorang jurutera yang mempunyai visimdalam bidang kejuruteraan tenaga dan alam sekitar, Nor Azam Kamisan.

“Inisiatif menubuhkan Persatuan Pintare bagi mengangkat industri tenaga boleh diperbaharui dan alam sekitar dengan misi memupuk rangkaian sokongan serta kerjasama dalam kalangan pihak berkepentingan.

“Pintare juga menyokong penggunaan tenaga boleh diperbaharui dan amalan mapan, selain menggalakkan daya maju ekonomi dan kebolehcapaian penyelesaian,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast