ALOR GAJAH – Pekerja asing warga Pakistan dan Bangladesh menjadi ‘johan’ pemandu warga asing (PeWA) yang ditahan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kerana menggunakan kenderaan tanpa lesen atau cukai jalan yang sah.
Pengarah JPJ Melaka, Muhammad Firdaus Shariff berkata, mereka adalah antara 68 daripada 89 kenderaan yang disita atas kesalahan itu sepanjang 20 hari Ops Khas Hari Raya Aidiladha (HRAA) bermula 10 Jun hingga 30 Jun lalu.
“Kesalahan PeWA ini masih meningkat dan lebih kecewa apabila ia kesalahan berulang apabila kenderaan disita itu milik rakyat Malaysia menunjukkan kesedaran mereka masih rendah.
“Daripada 68 kenderaan yang disita itu 45 adalah motosikal, kereta (21) serta kenderaaan barangan dengan pecahan PeWA teramai adalah Pakistan (25 orang), Bangladesh (22), Rohingya (12), Indonesia (10), India (5) dan Myanmar (4),” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengetuai operasi khas di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) di Rembia, di sini, hari ini.
Mengulas operasi sama Muhammad Firdaus berkata, sebanyak 3,700 saman dikeluarka terhadap pengguna kenderaan yang melakukan pelbagai kesalahan jalan raya sepanjang Ops Khas HRAA.
Dalam operasi selama 20 hari yang berakhir 30 Jun lalu, sebanyak 1,925 pemandu kenderaan dan penunggang motosikal dikenakan tindakan kerana gagal mematuhi peraturan lalu lintas daripada lebih 11,000 kenderaan yang diperiksa. – MalaysiaGazette