KUANTAN – Mahkamah Majistret, di sini, hari ini menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM4,000 ke atas pemilik syarikat dekorasi dapur kerana menebang pokok tanpa kebenaran bertulis daripada pihak berkuasa.
Liau Hai Keong,55, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Wahidah Zainal Abidin dan mengangguk faham serta memilih menerima hukum denda berbanding pemenjaraan.
Orang Kena Saman (OKS) itu berkemeja kelabu dan memakai pelitup muka kelihatan tenang ketika prosiding berjalan sehingga selesai.
Mengikut kertas pertuduhan, Liau didapati telah menebang pokok melebihi 0.8 meter tinggi tanpa kebenaran bertulis daripada Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) pada 21 April 2024.
Kesalahan tersebut dilakukan pada jam 11 pagi di Jalan IM7/5 Bandar Indera Mahkota di kawasan MBK di Pahang berhampiran premis restoran 4Fingers.
Beliau didapati melakukan kesalahan di bawah Seksyen 35H Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172).
Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi tiga bulan atau kedua-duanya.
OKS diwakili Mohd Shuhairil Ziqrul daripada Tetuan Wee, Rafiza dan Lee dalam hujahnya merayu mahkamah mengurangkan denda sebanyak RM10,000 yang dikenakan terhadapnya.
Dalam pembelaan, Mohd Shuhairil memohon mahkamah mempertimbang kerjasama OKS yang telah melangsaikan kompaun vandalisme bernilai RM2,000 dan tindakan sivil sebanyak RM 10,000 sebelum ini.
Tertuduh yang berpendapatan RM2,000 sebulan mempunyai tanggungan seorang isteri dan empat cahaya mata serta mengambil kira kesalahan pertama yang dilakukan.
“Beliau juga telah insaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan dan memberi kerjasama terhadap kes di mana pengakuan bersalah telah menjimatkan masa prosiding,” katanya.
Penolong Pengawai Undang-undang MBK, Muhammad Hafiz Ramlan memohon mahkamah mengenakan hukuman yang setimpal agar ia memberi pengajaran kepada masyarakat.
Pokok yang ditebang merupakan pokok warisan dan penebangan pokok tersebut telah mencacatkan landskap kawasan tersebut selain mengambil kira laluan tersebut kerap dilalui oleh Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
“Mahkamah perlu mengambil kira masa penjagaan yang lama pokok warisan dan kos yang tinggi.
“Anggaran usia pokok daripada Jabatan Landskap Batai Laut menghampiri berusia 50 tahun,” tambahnya.
Hakim kemudian memutuskan mengenakan hukuman denda sebanyak RM4,000 terhadap tertuduh. – MalaysiaGazette