NIBONG TEBAL – Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menafikan dakwaan pihak pembangkang bahawa kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap dikongkong dan diintip secara berlebihan oleh pihak berkuasa.
Beliau turut menyifatkan tomahan itu bersifat nakal memandangkan tiada satu permit kempen ditolak bermula hari penamaan calon sehingga hari ini.
Jelas beliau, semua kelulusan berhubung penganjuran kempen PRK Sungai Bakap diberikan mengikut lunas undang-undang dan ia langsung tidak menggambarkan keadaan penglibatan jumlah pasukan polis yang ramai.
“Jadi tujuannya apa? Tujuannya nak tunjukkan seolah-olah tak wujud keadilan dari segi kempen yang sedang berjalan. Saya menolak sama sekali tohmahan yang nakal seperti itu berdasarkan fakta yang saya bentangkan menunjukkan bahawa keadaan sangat tenteram dan aman.
“Jadi, saya tepis semua (tohmahan) itu dengan memahami bahawa polis adalah pasukan penguatkuasa keselamatan yang terbesar dalam negara kita.
“SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) juga menubuhkan jawatankuasa pemantau yang diwakili dari semua agensi termasuk wakil-wakil parti yang bertanding, mereka ini akan mengambil tindakan kalau ada pelanggaran,” katanya pada sidang akhbar di Bilik Gerakan Utama Pakatan Harapan, di sini, hari ini.
PRK Sungai Bakap menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon PH, Dr. Joohari Ariffin yang juga bekas Pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara dengan bekas eksekutif logistik yang juga Naib Yang Dipertua Pas Nibong Tebal, Abidin Ismail mewakili Perikatan Nasional (PN).
Pilihan raya itu diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lalu akibat keradangan dalam perut. – MalaysiaGazette