Bung Moktar Radin

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin mendakwa penjualan dadah khususnya jenis syabu kini seperti ‘pisang goreng’ dan semakin membimbangkan.

Bahkan katanya, dadah semakin mudah didapati dengan harga yang murah.

Situasi ini yang merupakan punca isu penagihan dalam negara sukar ditangani dan memerlukan pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

Oleh itu, katanya, Akta Pindaan penagih dadah sebenarnya penting apabila sebuah negara banyak anak muda menagih.

“Dadah jenis syabu ini memang tegar. Di Kinabatangan ada, di Sandakan ada, Kota Kinabalu ada dan saya perhatikan dadah jenis syabu ini macam menjual pisang goreng di semua penjuru boleh dapat, RM30 boleh dapat, saya pun hairan dari mana datang benda ini? Mana Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) kita, pegawai pencegah di pihak polis?

“Menteri kena fikir mekanisme apa kita pakai kalau kita masih kekalkan dadah ini sebagai musuh utama negara, maka perlu kita banteras secara besar-besaran. Ini bagus (pindaan) saya paling setuju,” katanya ketika sesi perbahasan pindaan RUU itu di Dewan Rakyat, hari ini.

Sehubungan itu beliau berharap kerajaan melaksanakan pindaan RUU tersebut dengan penguatkuasaan yang menyeluruh demi memastikan masalah penagihan dalam negara dapat ditangani.

Jelasnya, selain menumpukan perhatian merawat penagih kerajaan harus memastikan mereka mempunyai kemahiran bagi mendapatkan peluang pekerjaan.

“Hari ini ratus-ratus jadi penagih akhirnya kita sumbat ke penjara, kemudian masa depan tidak ada. Patutnya kita wujudnya pusat serenti ini lebih banyak. Mungkin kita wujudkan sekolah (latihan) vokasional atau TVET untuk mereka yang dirawat, di samping memulihkan, mereka perlu ada keyakinan, ada kemahiran boleh cari peluang pekerjaan. Sebab selalunya penagih selalu menerima pandangan rendah (negatif) daripada masyarakat.

“Jangan kita laksanakan sistem macam melepaskan batuk di tangga, seolah-olah ada akta begini cukuplah, tidak ada follow up, tiada pematuhan, tiada tindakan untuk memastikan perancangan yang baik tiada pelaksanaan yang baik maka tidak akan mencapai matlamat yang baik,” jelasnya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mencadangkan kerajaan menubuhkan panel yang terdiri daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) bagi membincangkan pelaksanaan pindaan RUU Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 secara sistematik dan menyeluruh.

Ia termasuklah isu rawatan ketagihan berulang, isu menyahjenayahkan dan membantu memberi keyakinan diri.

“Panel ini lebih adil dan berbincang untuk buat keputusan bersama kerana kita perlu ingat walaupun niatnya baik tetapi KDN semata-mata tidak mencukupi, perlu ada libat urus. Isu ketagihan ini bukan isu one-off tapi ada isu yang berulang.

“Kita ingin menyahjenayahkan isu penagihan tapi kalau berulang akan tetap dipenjarakan apa impaknya, kalau berulang dia tidak mahu jumpa AADK lagi. Tidak mahu jumpa doktor dapatkan rawatan kerana kalau dia pergi lagi akan dipenjarakan,” jelasnya.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast