Mahkamah Sesyen PATI Kemayan

BERA – Seramai tiga orang pemilik premis dan 51 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) pelbagai warganegara dihadapkan ke Mahkamah Sesyen PATI Kemayan hari ini.

Para pemilik premis warga tempatan tersebut dituduh mengikut Seksyen 55E(1) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana membenarkan PATI berada di premis mereka.

Hakim Ahmad Rizki Abdul Jalil menjatuhkan hukuman denda antara RM5,000 hingga RM20,000 terhadap setiap orang tertuduh.

Manakala hukuman denda antara RM1,000 hingga RM7,000 turut dijatuhkan terhadap terhadap tiga orang PATI warga Pakistan dan dua warga India kerana melakukan kesalahan di bawah Peraturan 39b Peraturan-Peraturan Imigresen dan Seksyen 56(1)(l) akta yang sama kerana melanggar syarat pas dan memiliki cap atau endosmen yang dipalsukan.

Selain itu, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara antara 3 hingga tujuh bulan terhadap 46 orang lagi PATI termasuk 19 orang warga India, Indonesia (13), Pakistan (7) dan Nepal (1) atas kesalahan dibawah Seksyen 15(1)(c) dan 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Menerusi kenyataan Jabatan Imigresen Pahang (JIM) Pahang, kes terhadap enam lagi PATI akan disebut semula pada tarikh lain.

“Semua tertuduh yang didakwa adalah tangkapan hasil operasi penguatkuasaan JIM Pahang sepanjang Jun tahun ini. Sesi pendakwaan dikendalikan oleh pegawai-pegawai pendakwa JIM Pahang,” katanya.

JIM Pahang mengingatkan masyarakat agar tidak mengambil pekerja asing tanpa pas atau permit yang sah serta membenarkan PATI berada di premis mereka.

Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap PATI dan mana-mana pihak yang memberi perlindungan kepada mereka. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast