NIBONG TEBAL – “Tolak politik kebencian, itu mesej Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) buat pengundi Sungai Bakap,” kata Setiausaha Politik Kanannya, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin.
Menurut beliau, pengundi Sungai Bakap seharusnya memberi peluang kepada calon Perpaduan, Dr Joohari Ariffin yang selari dengan Kerajaan Pusat serta Negeri.
“Saya agak terkilan dengan pemimpin pembangkang yang menggunakan kempen terbabit untuk menghina Perdana Menteri.
“Beliau (Perdana Menteri) dicela dengan perkataan yang kita sendiri tidak sanggup dengar, maka saya fikir mesej ini jelas buat pengundi untuk mereka menolak politik berbaur kebencian,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media di Bilik Gerakan Utama Pakatan Harapan, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata Anwar turut memberikan ruang dan peluang menerusi forum yang berlangsung pada setiap hari Selasa bagi menjawab sebarang persoalan yang dilontarkan pembangkang di dalam Parlimen.
“Justeru, tidak perlu (pembangkang) guna kenyataan media, media sosial dan sebagainya walhal ada forum yang disediakan untuk mengutarakan pelbagai isu,” katanya.
PRK Sungai Bakap menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon PH, Dr. Joohari Ariffin yang juga bekas Pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara dengan bekas eksekutif logistik yang juga Naib Yang Dipertua Pas Nibong Tebal, Abidin Ismail mewakili Perikatan Nasional (PN).
Pilihan raya itu diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lalu akibat keradangan dalam perut. – MalaysiaGazette