KUANTAN – Sebuah bot nelayan dari Indonesia bersama tiga kru dan tekong hanyut kira-kira 42 batu nautika timur laut di Pulau Tioman pukul 1.00 petang, 3 Julai lalu.
Timbalan Pengarah Operasi Maritim Negeri Pahang, Kapten Maritim Zainudin Mohd Zuki berkata, pihaknya dimaklumkan bahawa bot itu telah hanyut selama enam hari akibat rosak.
“Sebaik menerima laporan tersebut, bot ronda PERKASA 1246 telah diatur gerak ke lokasi tersebut.
“Bot telah ditunda dengan bantuan bot nelayan tempatan dan selamat tiba di Jeti Pos Maritim Teluk Gading sekitar pukul 9.00 malam semalam,”katanya dalam kenyataan.
Zainudin berkata, Maritime Rescue Sub–Center (MRSC) Kuantan telah menghubungi Badan SAR Nasional Indonesia (BASARNAS) untuk mendapatkan pengesahan mengenai laporan kehilangan bot.
Beliau berkata, pihaknya mengesahkan bahaw bot tersebut dilaporkan tidak dapat dihubungi sejak beberapa hari lalu. – MalaysiaGazette