Gambar hiasan sidang DUN Selangor

SHAH ALAM – Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini menerima usul mengecam tindakan mengancam keselamatan nyawa dan atlet negeri Selangor.

Usul tersebut dikemukakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Serdang, Abbas Salimmi (Pakatan Harapan).

Jelas beliau, cubaan menakut-nakutkan pemain bola Selangor dilihat berisiko membantutkan usaha negeri ini melahirkan lebih ramai atlet yang berwibawa dalam negara.

“Dalam kejadian 5 Mei 2024 hari Ahad jam 4.40 petang seorang pemain bola sepak Faisal Halim disimbah asid di Kota Damansara mengakibatkan dia melecur tahap empat dan trauma seperti kenyataannya pada 12 Jun.

“Rentetan peristiwa ini Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj juga telah menzahirkan kemurkaan baginda menerusi kenyataan pada 26 Jun dan perkenan Selangor FC hantar penangguhan Piala Sumbangsih.

“Terdapat juga insiden memukul pemain bola sepak dan memecah cermin kereta pemain bola sepak yang lain, mungkin untuk menakut-nakutkan atau tujuan lain yang tidak sepatutnya berlaku,” katanya.

Kemudian, Timbalan Speaker Mohd Kamri Kamaruddin mengumumkan usul tersebut diterima dan akan ditetapkan jam 3 petang nanti untuk perbahasan.

“Speaker berpuas hati usul tersebut menepati tiga syarat 17(1) termasuk Peraturan-Peraturan Tetap Dewan iaitu ia adalah satu perkara tertentu berkenaan kepentingan oranng ramai yang perlu disegerakan,” ujarnya.

Pada 5 Mei lalu, Faisal mengalami kecederaan melecur tahap empat selepas disimbah asid oleh individu tidak dikenali menyebabkan kecederaan pada badannya.

Dia diserang ketika berada di sebuah pasar raya di Kota Damansara, Petaling Jaya.

Sehingga kini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) belum dapat mengenal pasti motif serangan asid ke atas pemain bola sepak kebangsaan itu.

Selain Faisal, pada 2 Mei lalu pemain bola sepak kebangsaan, Akhyar cedera selepas menjadi mangsa samun di Terengganu.

Pada 7 Mei lalu pula, cermin kereta Safiq yang juga bekas ketua pasukan kebangsaan, dipecahkan individu tidak dikenali berhampiran pusat latihan Johor Darul Ta’zim (JDT), di Johor Bahru.

Dalam pada itu, Sultan Selangor, menzahirkan rasa kecewa dan amat dukacita dengan keputusan ahli-ahli Liga Bolasepak Malaysia (MFL) serta ahli-ahli Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) khususnya Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berhubung kes ketidakhadiran Selangor FC ke Perlawanan Piala Sumbangsih, 10 Mei lalu.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast