PUTRAJAYA – Kerajaan mengingatkan semua pihak agar meneruskan kempen cara sihat dan tidak berkongsi kandungan bersifat provokatif dalam tempoh beberapa jam sebelum sebelum kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap berakhir.
Menteri Komunikasi, Ahmad Fahmi Fadzil berkata, peringatan itu dikeluarkan susulan penyebaran satu kandungan bersifat fitnah di media sosial yang mengaitkan sebuah parti dalam kerajaan.
Berikutan itu, pihaknya telah menerima aduan daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Aduan ini diterima saya dan MCMC dari beberapa orang di Sungai Bakap dan ini adalah satu tindakan yang jahat dan bersifat provokatif.
“Ada nombor telefon di situ (kandungan) dan pihak MCMC dan PDRM akan melakukan siasatan untuk mengesan mereka disebalik tindakan jahat ini,” katanya pada sidang akhbar pasca mesyuarat Kabinet, di sini, hari ini.
Fahmi yang juga jurucakap kerajaan perpaduan turut mengingatkan semua pihak supaya tidak menyebarkan dakyah atau fitnah.
Dalam sidang media sama, beliau turut berkongsi paparan kandungan bersifat undian di aplikasi sosial yang menggunakan latar gambar dua lelaki sedang bercium.
Kandungan bertajuk Vote Harapan For Freedom itu turut merayu pengundi di Sungai Bakap supaya mengundi calon Pakatan Harapan (PH).
PRK DUN Sungai Bakap akan berakhir esok dengan menyaksikan Joohari Ariffin dari PH dicabar Naib Yang Dipertua Pas Nibong Tebal, Abidin Ismail mewakili Perikatan Nasional (PN).
PRK itu diadakan berikutan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut. – MalaysiaGazette