NIBONG TEBAL – Pakatan Harapan (PH) menyelar tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang cuba mengaitkan parti itu dengan kumpulan transgender rekaan kononnya merayu undi daripada penyokong melalui aplikasi WhatsApp.
Pengarah Pilihan Raya Perpaduan bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid berkata, percubaan jelik itu lebih ke arah mencemarkan imej parti serta memanipulasi sentimen pengundi Muslim dan Melayu.
“Ini bukan sahaja tindakan terdesak oleh pihak lawan tetapi juga penghinaan terang-terangan kepada kebijaksanaan pengundi-pengundi di Sungai Bakap.
“Parti kami berdiri teguh menentang taktik jelik sebegini dan mengulangi komitmen kami untuk berkhidmat kepada rakyat dengan kejujuran, ketelusan dan rasa hormat,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Mengulas lanjut Mohamad turut menyeru pihak lawan untuk terlibat dalam kempen yang adil dan menghormati, dengan menumpukan pada polisi dan tindakan yang akan menguntungkan para pengundi Sungai Bakap dan bukan dengan menggunakan taktik kotor.
“Kita menggesa para penyokong dan orang awam tidak terpedaya dengan mesej fitnah yang dirancang untuk mengalihkan perhatian daripada isu-isu sebenar dan merosakkan kepercayaan yang telah diberikan.
“Kami juga menggalakkan pengundi untuk mengesahkan maklumat melalui sumber yang sahih dan tidak terperangkap dengan usaha tidak beretika ini untuk mewujudkan perpecahan dan kekeliruan.
“Kendatipun begitu, dedikasi kami kepada kesejahteraan dan kemajuan rakyat tetap teguh dan utuh. Kami tidak akan teralih perhatian oleh taktik jelik ini dan akan terus bekerja tanpa henti ke arah masa depan yang lebih cerah untuk semua,” katanya. – MalaysiaGazette