NIBONG TEBAL – Kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap melabuh tirainya hari ini selepas 14 hari calon bertanding diberikan peluang untuk memikat hati pengundi.
Ini bermakna selepas jam 12 tengah malam, segala aktiviti merayu undi tidak dibenarkan terutamanya pada hari pengundian esok.
Terdahulu, calon Kerajaan Perpaduan, Dr Joohari Ariffin mengakhiri kempen di pentas ceramah ‘grand finale’ di pekarangan C-Mart, Bandar Tasek Mutiara di sini.
Manakala calon Perikatan Nasional, Abidin Ismail pula mengakhiri kempen dengan Munajat Perdana di Unit Daerah Mengundi Sungai Bakap.
Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan seramai 39,151 pemilih berdaftar akan melaksanakan tanggungjawab mengundi pada PRK bagi memilih wakil rakyat DUN Sungai Bakap esok.
Sebanyak sembilan pusat pengundian yang mengandungi 65 tempat mengundi atau saluran dijadual dibuka serentak bermula jam 8 pagi dan ditutup jam 6 petang.
PRK DUN Sungai Bakap menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara bekas Pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara Dr Joohari Ariffin dan bekas eksekutif logistik yang juga Naib Yang Dipertua Pas Nibong Tebal, Abidin Ismail mewakili Perikatan Nasional (PN).
Pilhan raya kecil kawasan itu diadakan semula susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lalu akibat keradangan dalam perut. – MalaysiaGazette