Ng Sze Han

SHAH ALAM – Status Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook yang mewakili DAP tiada kaitan dengan lantikan dua syarikat pengendali Projek Rintis Demand Responsive Transit (DRT).

Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor, Ng Sze Han berkata, meskipun sedar wujud tomahan mengenai tatakelola mengenai pelantikan tersebut namun kerajaan negeri mengikut prosedur yang betul.

Dakwanya, pematuhan prosedur itu  bermula daripada peringkat rundingan dan rujukan daripada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) sehingga kelulusan yang diberikan menerusi Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).

“Ini tidak terlibat langsung dengan siapa menteri, kita memang ikut tatakelola hanya dua syarikat sahaja dapat permit masa itu kita lantik untuk jalankan POC (Proof Of Concept) kita rujuk agensi APAD. Selepas itu kita melalui proses bukan satu, banyak prosesnya sampai MMKN luluskan,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), Sungai Ramal Shafie Ngah (Perikatan Nasional).

Shafie terdahulu bertanyakan kepada Sze Han sama ada kerajaan negeri sedar tentang tomahan yang tercetus ekoran lantikan syarikat yang mempunyai kaitan dengan suami kepada Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang juga daripada DAP.

Suaminya ialah Ramachandran Muniandy yang merupakan Ketua Eksekutif Asia Mobility.

Satu lagi syarikat yang dilantik mengendalikan projek rintis tersebut adalah Badan Bas Coach Sdn Bhd (Badan Bas).

Mengulas lanjut Sze Han berkata, perkhidmatan DRT berbeza dengan e-Hailing.

“Di sini saya rasa semua kena faham perbezaan e-hailing dengan DRT. Kedua-dua ini merupakan pengangkutan yang tidak sama, e-Hailing saya bagi contoh, Grab sangat terkenal tapi bukan perkidmatan perantaraan.

“DRT perkhidmatan pengangkutan awam di antara bas dengan e-Hailing di mana ia merupakan satu perkhidmatan perantaraan yang boleh buat tempahan di Kawasan tertentu sahaja,” jelasnya.

DRT merupakan perkhidmatan yang membolehkan pengguna menempah perkhidmatan pengangkutan awam seperti bas atau van melalui aplikasi telefon bimbit apabila mereka memerlukannya.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast