SHAH ALAM – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan (PH) di Selangor hari ini kecewa dengan tindakan kerajaan negeri yang dikatakan ingin menghidupkan kembali projek pembinaan lebuh raya Petaling Jaya Traffic Dispersal Elevated Highway (PJD Link).
Menurut ADUN Kampung Tunku, Lim Yi Wei, sehingga kini isu projek tersebut dilihat masih tidak selesai dan sentiasa menghantui penduduk Petaling Jaya yang menentangnya.
“Saya minta maaf kerana terpaksa membawa isu ini, tetapi saya ingin meluahkan rasa kecewa kerana saya mendengar projek PJD Link is back on the table. Dalam sidang yang lepas apa yang saya kata dan saya ulang hari ini cukuplah biarkan projek ini mati, biarkan projek ini terkubur
“Apakah PJD Link ini seperti zombie yang tidak mati-mati dan masih merunsingkan penduduk Petaling Jaya,” katanya dalam siding Dun hari ini.
Malah katanya, kemunculan semula projek tersebut dalam masa yang sama kerajaan negeri ingin memperkenalkan perkhidmatan transit responsif atas permintaan (DRT) dilihat ironi.
“Inisiatif kerajaan negeri untuk memperkenalkan DRT melalui projek mobility di samping kemunculan semula PJD Link seolah-olah one step forward, two steps backward,” jelasnya.
Sebagai rekod, Kerajaan Selangor pada tahun lalu membuat keputusan membatalkan permohonan pembinaan lebuh raya terbabit, berikutan pelan dikemukakan berkaitan laporan penilaian impak didapati tidak menepati syarat ditetapkan.
Namun pada 24 Februari lalu, Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari dilaporkan meminta pemaju lebuh raya terbabit merundingkan semula jajarannya dengan Kerajaan Persekutuan.
Tambah Yi Wei, rakyat akan menggoyahkan kepercayaan terhadap Kerajaan Negeri Selangor sekiranya projek ini gagal dihentikan secara mutlak.
“Ingin saya tegaskan bahawa lebuh raya bukan penyelesaian kepada kesesakan lalu lintas, kita perlu gerakkan orang, bukan kereta.
“Jadi, tolong berhenti berikan PJD Link ‘the time of the day’ (peluang). Semakin lama isu ini muncul lepas itu kononnya selesai, muncul semula dan kononnya selesai, semakin rapuh kepercayaan rakyat kepada kerajaan ini. Saya minta maaf kalau bunyinya kasar tapi masa ini yang penting adalah integriti, what wait that’s your promise carry?,” soalnya.
Katanya, projek PJD Link tidak akan menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas di kawasan tersebut termasuk di Taman Medan.
Sebaliknya, masalah tersebut boleh diselesaikan dengan perkhidmatan pengangkutan awam.
“Banyak kajian telah menyatakan bahawa penambahbaikan jaringan bas, LRT, MRT dan KTMB termasuk 1st miles last miles merupakan langkah lebih lestari dalam jangka masa Panjang.
“Kewujudan PJD Link tidak akan menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas di Taman Medan yang sukar mendapatkan jaringan pengangkutan awam seperti yang dikatakan sebelum ini malah, akan memburukkan lagi keadaan,” katanya.-MalaysiaGazette