Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Negeri Selangor, Mohd Najwan Halimi berucap ketika hadir ke Penyerahan Insentif Kecemerlangan Atlet Negeri Selangor di Hotel Concorde Shah Alam, Selangor. Foto SYADILA AMARI, 28 JUN 2024.

SHAH ALAM – Selangor FC sedang mempertimbangkan membawa hukuman yang dikenakan terhadap kelab bola sepak itu oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL) ke peringkat Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).

Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Negeri Selangor, Mohd Najwan Halimi berkata, selain membuat rayuan terhadap hukuman yang dikenakan itu, kelab tersebut telah melantik peguam untuk tindakan selanjutnya.

“Selangor FC mempertimbangkan untuk membawa kes hukuman yang telah dijatuhkan oleh MFL baru-baru ini ke peringkat yang lebih tinggi, mereka telah lantik peguam dan akan membawa kes ini ke pihak (Mahkamah) Timbang Tara Sukan kerana sesuatu yang kita lihat zalim apabila hukuman yang dijatuhkan MFL sebelum ini dan ia keras tapi susulan titah Sultan Selangor baru ada pengurangan,” katanya.

Beliau menyatakan demikian bagi menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Undangan Negeri Taman Medan, Dr. Afif Bahardin (PN) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini, hari ini.

Beliau bertanyakan sama ada kerajaan Negeri Selangor bersedia bertindak lebih ‘rebellious’ kepada MFL susulan tindakan yang dilihat tidak adil dan berat sebelah baru-baru ini.

MFL mengenakan empat bentuk hukuman terhadap Selangor FC selepas pasukan itu tidak hadir pada perlawanan Piala Sumbangsih menentang JDT di Stadium Sultan Ibrahim di Johor pada 10 Mei lalu.

Hukuman awal diputuskan mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah MFL membabitkan denda RM100,000 dan bayaran pampasan kerugian yang ditanggung pasukan tuan rumah, JDT dan MFL.

Pasukan berkenaan turut dikenakan pemotongan tiga mata dalam pertandingan Liga Super 2024-2025 dan perlawanan Liga Super menentang pasukan sama di Stadium MBPJ, Kelana Jaya akan dimainkan tanpa penonton.

Bagaimanapun, Ahli Lembaga Pengarah MFL membuat pusingan ‘U’ selepas Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menyuarakan kemurkaan baginda.

Berikutan itu, MFL mengurangkan denda daripada RM100,000 kepada RM60,000 manakala pemotongan tiga mata dalam pertandingan dan larangan kemasukan penonton turut dibatalkan.

Namun bayaran pampasan kerugian yang perlu dibayar kepada pasukan JDT dan MFL dikekalkan.

Mengulas lanjut, Najwan menyifatkan pandangan dan cadangan supaya Selangor FC menarik diri daripada arena liga bola sepak Malaysia akan mengundang implikasi negatif.

“(Jika) Kita nak lihat dari sudut emosi dan ketaksuban selain kemarahan memang mudah Selangor FC di peringkat pengurusan menarik diri daripada liga tapi kita perlu lihat situasi dari kerangka yang lebih besar kerana Selangor FC pasukan utama dalam liga kita.

“Jadi kita boleh bayang implikasi kepada liga Malaysia, bola sepak Malaysia ini sekiranya bertindak demikian. Ini yang kita nak elakkan,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast