Perang bendera dari dua parti gegasi Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional yang telah dipasang sepanjang jalan ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Sungai Bakap, Pulau Pinang. Foto AIZAT ZAINAL, 24 JUN 2024.

KURANG 24 jam sebelum hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap esok, agak sukar menilai mana-mana parti mempunyai kelebihan selesa untuk memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) itu.

Meskipun Perikatan Nasional (PN) turun sebagai penyandang dengan kelebihan majoriti agak selesa iaitu 1,563 undi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu, namun situasi semasa agak berbeza.

Tidak seperti PRN lalu, `gelombang hijau’ yang begitu kuat memberi kelebihan kepada PN hampir di kesemua kerusi majoriti Melayu termasuk di DUN Sungai Bakap yang komposisi pengundi Melayunya melebihi 60 peratus.

Namun, selepas lebih dua tahun Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) berlalu, perlu diakui aura dan sentimen`gelombang hijau’ itu tidak lagi sekuat seperti dulu.

Berbanding ketika PRU yang mana `gelombang hijau’ itu digerakkan di seluruh negara, gelombang sama tidak begitu memberi kesan dalam kelompok kecil pengundi Melayu pada PRK Sungai Bakap kali ini.

Kedudukan PRK itu yang tidak mampu memberi sebarang perubahan dari segi tampuk pemerintahan negeri juga dinilai boleh menjadi faktor yang tidak memihak calon Pas yang mewakili PN iaitu Abidin Ismail kali ini.

Berdasarkan beberapa tinjauan yang dilakukan pemerhati politik bebas, rata-rata pengundi Sungai Bakap tidak menunjukkan kesungguhan untuk menyertai proses demokrasi di kawasan mereka kali ini.

Perasaan itu disebabkan mereka beranggapan sesiapa pun yang memenangi PRK kali ini, kedudukan kerajaan negeri di bawah Kerajaan Perpaduan tidak akan tergugat dan nasib mereka juga tidak akan banyak berubah berbanding sebelum PRK tersebut.

Bagi pengundi di luar kawasan pula, perasaan itu lebih menebal dan meskipun mereka mempunyai banyak masa untuk pulang mengundi memandangkan cuti panjang hujung minggu ini, ramai yang memilih untuk bercuti ke lokasi lain.

Maka, tidak hairan jika peratusan keluar mengundi pada PRK Sungai Bakap esok dijangkakan agak rendah sekali gus tidak memberi kelebihan kepada calon PN.

Begitupun, calon Kerajaan Perpaduan yang diwakili Dr. Joohari Ariffin dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) juga tidak berada dalam keadaan selesa menjelang hari terakhir pengundian esok.

Meskipun bergerak dengan keseluruhan jentera kempen dari Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat, namun beberapa isu sepanjang PRK Sungai Bakap dilihat gagal ditangani dengan baik.

Paling dominan adalah berkenaan masalah air yang dihadapi oleh sebahagian besar penduduk Sungai Bakap yang sudah berlanjutan beberapa tahun.

Isu ini sangat kritikal memandangkan ia melibatkan keperluan asas rakyat tanpa mengira kaum yang mana komuniti penduduk Cina dan India juga terjejas dengan masalah air itu.

Dengan komposisi mereka yang kecil, kehilangan undi kaum Cina dan India disebabkan isu tersebut boleh menjejaskan peluang Kerajaan Perpaduan merampas semula DUN Sungai Bakap.

Apa yang lebih membuatkan penduduk terlibat berasa terpinggir apabila wujud dakwaan keperluan air itu lebih diutamakan untuk kegunaan kilang-kilang di Batu Kawan.

Malangnya, dalam isu air ini, jentera kempen Kerajaan Perpaduan dilihat lebih banyak mengambil pendekatan menyalahkan pihak lain termasuk kerajaan PN terdahulu berbading menawarkan penyelesaian konkrit.

Kerajaan Perpaduan juga berdepan cabaran untuk menangani persepsi yang diwujudkan sepanjang kempen PRK Sungai Bakap ini iaitu sokongan kepada calon PN adalah isyarat penolakan kepada dasar-dasar Kerajaan Pusat.

Ia salah satunya berkenaan keputusan melaksanakan penyasaran subsidi bahan api diesel yang sudah mula menunjukkan kesan domino berlakunya peningkatan harga beberapa sektor perkhidmatan.

Dengan kebimbangan bahan api petrol juga akan diambil langkah penyasaran subsidi sama selepas ini, keputusan PRK Sungai Bakap esok boleh disimpulkan bakal menjadi kayu ukur kepada Kerajaan Perpaduan untuk meneruskan atau sebaliknya dasar tersebut  pada masa depan. – MalaysiaGazzete

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast