KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengeluarkan 10 notis kompaun pelbagai kesalahan terhadap premis pelacuran menerusi Operasi Tindakan Khas Pusat Urut di sekitar Parlimen Seputeh, Khamis lalu.
DBKL menerusi Facebook berkata, tindakan diambil menerusi siasatan dan risikan yang dijalankan selama lima hari di sekitar kawasan berkenaan.
“Berdasarkan semakan, kesemua premis tersebut menjalankan perniagaan pusat urut tanpa lesen perniagaan yang sah,” katanya.
Menurutnya, lima notis kompaun yang dikeluarkan di bawah Seksyen 79(1), Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 bagi kesalahan mendirikan struktur dalaman tambahan tanpa kebenaran.
Manakala lima lagi di Bawah UUK 3(1) Undang-undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (WPKL) 2016 iaitu kesalahan menjalankan aktiviti perniagaan pusat urut tanpa lesen yang sah telah dikeluarkan.
Dalam masa yang sama, DBKL turut merobohkan 82 struktur dalaman yang dibina.
Katanya semua premis tersebut telah dikenakan tindakan tutup serta merta di bawah Seksyen 101(1)(v), Akta Kerajaan Tempatan 1976 serta barangan yang melibatkan perniagaan telah disita.
“Semua barangan yang disita telah dihantar dan disimpan di setor Jalan Lombong, Cheras, Kuala Lumpur,” katanya lagi.
-MalaysiaGazette