Abdul Rashid menandatangani plak perasmian program Jom Kendurian @ Jualan Agro Madani di Pasaraya AEON Bandaraya Melaka, hari ini

MELAKA – Pengeksportan pertama durian segar ke China bermula September ini dijamin tidak akan mengganggu bekalan tempatan sehingga mengakibatkan kenaikan harga raja buah itu di pasaran negara.

Ketua Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Abdul Rashid Bahri berkata, ini kerana pengeksportan hanya melibatkan durian klon kategori premium seperti Musang King, IOI dan Duri Hitam.

Menurutnya, pihak Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) kini di peringkat mengaudit permohonan kira-kira 70 pusat pembungkusan dan lebih 200 ladang durian yang mematuhi piawaian Amalan Pertanian Baik (myGAP).

“Kebanyakan buah yang kita eksport adalah jenis durian klon premium atau gred A seperti Musang King, IOI dan Duri Hitam jadi pengguna biasa masih ada pilihan gred B, C dan seterusnya termasuk Durian Kampung.

“Jadi akan ada lagi durian mampu milik di pasaran cuma kalau ada pun mungkin harganya sedikit meningkat dan pengguna juga harus faham ianya berpatutan dengan kenaikan kos yang perlu ditanggung usahawan,” katanya.

Abdul Rashid Bahri

Beliau berkata demikian selepas merasmikan program Jom Kendurian @ Jualan Agro Madani di Pasaraya AEON Bandaraya Melaka di sini hari ini.

Abdul Rashid mengulas apakah jaminan FAMA untuk memastikan bekalan durian di negara ini tidak berlaku peningkatan drastik pada masa hadapan susulan KPKM menjangkakan eksport durian segar ke China dapat dilaksanakan pada suku ketiga tahun ini.

Mengulas lanjut Abdul Rashid berkata jika semuanya berjalan lancar, eksport durian pertama ke China akan menggunakan pengangkutan kapal atau udara bergantung kepada bekalan raja buah itu.

“Jika melalui udara, kapasitinya terhad kepada satu metrik tan atau 5,000 biji namun jika bekalan banyak mungkin kita akan menggunakan kontena melalui kapal yang boleh mencapai antara 10 hingga 20 tan,” katanya.

Abdul Rashid (tiga dari kanan) menyampaikan
geran Pembangunan Produk Usahawan Micro IAT kepada penerima.

Menteri KPKM Datuk Seri Mohamad Sabu pada sidang Dewan Rakyat Isnin lalu dilaporkan berkata, pengeksortan itu susulan pemeteraian Protokol Keperluan Fitosanitari Pengeksportan Buah Durian Segar dari Malaysia ke China, 19 Jun lalu.

Ketika ini, Malaysia sedang melalui proses untuk mendapatkan kelulusan daripada Jabatan Pentadbiran Am Kastam China (GACC) yang mengambil masa dua hingga tiga bulan dan KPKM melalui Jabatan Pertanian sedang memuktamadkan Sijil Fitosanitasi bersama GACC. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast